Honda CB650R 2021 bakal berada di pasaran Jepun mulai 28hb. Januari 2021, harga bersamaan RM 38,283.57

Selain daripada model Honda CBR650R 2021, kembarnya iaitu model naked Honda CB650R 2021 juga bakal berada di pasaran domestik Jepun mulai tarikh 28hb. Januari 2021. Kedua-dua model itu telah menerima beberapa peningkatan yang hampir sama.

Honda CB650R 2021 kini didatangkan dalam tiga pilihan warna iaitu Matte Ballistic Black Metallic, Matte Jeans Blue Metallic dan Candy Chromosphere Red. Kali ini warna pada mudguard depan adalah sama dengan warna yang dikenakan pada tangki petrol.

Perubahan besar lain ialah di bahagian suspensi, apabila model tersebut kini dilengkapi fork depan Showa Separate Function front Fork Big Piston (SFF-BP) USD 41 mm. Enjin pula kekal sama seperti sebelumnya, namun telah menerima penarafan emisi Euro 5.

Honda CB650R 2021 dikuasakan enjin bersesaran 649cc (liquid-cooled 4-stroke 16-valve DOHC inline-4 cylinder), dengan kuasa maksimum yang dihamburkan mencapai paras 95PS (70kW) @ 12,000rpm dengan tork maksimum 64Nm @ 8,500rpm.

Enjin tersebut dipadankan transmisi enam kelajuan dengan bantuan sistem Assist & Slipper Clutch, dan turut dilengkapi teknologi Honda Selectable Torque Control (HSTC). Sistem HSTC itu boleh dimatikan (turned off) bergantung kepada pilihan penunggang.

Antara kelengkapan baharu pada CB650R 2021 kali ini termasuklah panel meter LCD yang lebih jelas, pengecas USB jenis Type-C di bawah tempat duduk, panel sisi baharu minimalis dan mudguard belakang keluli berbanding buatan plastik nilon sebelumnya.

Selain itu peningkatan sudut palang pemegang (handlebar) kini naik 3° kepada 35°. Penyesuaian terbaharu itu membolehkan putaran handlebar pada laluan yang sempit, pada kelajuan perlahan dan ketika mengambil pusingan U menjadi lebih mudah.

Honda CB650R 2021 turut dilengkapi ciri-ciri seperti sistem lampu LED sepenuhnya, suspensi belakang monoshock (adjustable for 7-stage spring preload), sistem brek dwi cakera depan 310 mm, brek cakera belakang 240 mm dan sistem ABS dua saluran.

Di bahagian roda, jentera naked berprestasi itu dilengkapi rim aluminium sporty yang dipasangkan tayar depan dan belakang dalam ukuran 120/70-ZR17 dan 180/55-ZR17. Tangki bahan apinya mempunyai kapasiti 15.4 liter, dengan berat keseluruhan 201 kg.

Untuk pasaran Jepun, Honda CB650R 2021 boleh dimiliki pada harga 979,000 Yen, bersamaan RM 38,283.57 mengikut kadar semasa. Untuk pasaran Malaysia, kedua-dua model CB650R dan CBR650R 2021 dijangka akan dilancarkan pada tahun depan.