Kymco K-Pipe 50 di pasaran Vietnam, harga RM 3,635.43

Salah sebuah model yang pernah menarik perhatian ramai peminat dunia motosikal tempatan suatu ketika dahulu ialah Kymco K-Pipe 125. Tampil dengan gaya rekaan unik dan tersendiri, model tersebut dilancarkan sekitar tahun 2012 atau 2013, namun tidak dapat dipastikan tempoh jualannya bertahan sampai bila.

Ketika ini Kymco K-Pipe 125 dipercayai tidak lagi ditawarkan di pasaran Malaysia, namun di pasaran Vietnam, model tersebut masih lagi dijual. Cuma perbezaannya ialah model yang dijual di pasaran Vietnam itu tidak lagi dilengkapi enjin 125cc, sebaliknya digantikan dengan enjin yang lebih kecil bersesaran 49cc sahaja.

Enjin empat lejang satu silinder dengan sistem sejukan udara itu dipadankan dengan kotak gear empat kelajuan, dan menghasilkan kuasa maksimum 2.45PS @ 7,500rpm dengan tork maksimum 2.8Nm @ 5,500rpm. Kymco K-Pipe 50 dilengkapi tangki bahan api dengan kapasiti 4.5 liter, manakala berat keseluruhannya ialah 104 kg.

Sistem suspensinya terdiri daripada fork depan jenis teleskopik, yang kemudiannya digandingkan dengan suspensi monoshock di bahagian belakangnya. Sistem brek pula merupakan gabungan di antara brek cakera dan brek dram, yang mana ianya sudah memadai untuk memberhentikan motosikal bersaiz kompak itu dengan selamat.

Kymco K-Pipe 50 berdiri di atas tayar depan dan belakang tanpa tiub (tubeless) dengan saiz masing-masing 80/80-R17 dan 90/80-R17. Ciri-ciri moden yang melengkapi model tersebut termasuklah sistem penghidup jenis elektrik, panel meter LCD digital dengan paparan jam, butang Engine Stop dan lampu belakang jenis LED.

Untuk pasaran Vietnam, Kymco K-Pipe 50 ditawarkan pada harga sebanyak 20,800,000 VND, bersamaan RM 3,635.43 mengikut kadar semasa. Pilihan warna yang ditawarkan ialah tiga kesemuanya iaitu Merah, Hijau dan Hitam. Untuk pasaran Malaysia, motosikal dengan enjin 50cc pastinya tidak akan mampu menarik perhatian pembeli.