Jentera naked Kymco Krider 400 mula muncul pada seawal tahun 2016, dengan asas pembangunannya daripada model Kawasaki ER4n. Model tersebut kemudiannya dilancarkan di pasaran Taiwan dan juga di pasaran China, dengan versi paling terkini telah dilancarkan di pasaran Taiwan sekitar bulan Februari 2020 yang lepas.
Bagi model tahun 2020, Kymco Krider 400 boleh didapati dalam tiga pilihan warna iaitu Brilliant Red, Silver dan Pearl Black. Penampilan keseluruhannya pula kekal agresif dengan ciri-ciri menarik seperti sistem brek ABS, sistem lampu LED sepenuhnya termasuk lampu depan ‘Falcon-style’, panel instrumen digital LCD dan pengecas USB.
Selain itu ianya juga dilengkapi sistem suspensi depan dengan ciri pelarasan prabeban, suspensi belakang dengan tujuh tahap pelarasan, brek cakera depan berkembar 300 mm, brek cakera belakang tunggal 240 mm, roda depan dan belakang dalam ukuran 120/70 ZR17 dan 160/60 ZR17, serta kapasiti maksimum tangki bahan api 15 liter.
Kymco Krider 400 2020 dikuasakan enjin empat lejang bersesaran 399.1cc dengan dua silinder dan sistem penyejukan cecair, dan menghasilkan kuasa maksimum 40PS @ 8,250rpm dengan tork maksimum 37Nm @ 7,500rpm. Enjin tersebut dipadankan kotak gear enam kelajuan, manakala berat motosikal tersebut ialah 205 kg (curb weight).