Modenas hari ini dengan rasminya melancarkan model kapcai Modenas Kriss 110 2021 terbaharu, yang telah menerima pelbagai kemaskini yang lebih menarik dan bergaya. Model tersebut juga kini telah dipertingkatkan ciri-ciri keselamatan dan keselesaannya. Untuk memudahkan pembacaan, di bawah berikut ialah senarai ciri-ciri baharunya :
- Dilengkapi sistem brek cakera di bahagian roda depan untuk pemberhentian yang lebih cekap, seterusnya meningkatkan lagi ciri keselamatannya
- Panel meter kini hadir dengan rekaan baharu dan dilengkapi ciri-ciri seperti penunjuk aras gear (gear position) dan tolok bahan bakar jenis LED
- Dilengkapi soket pengecas USB untuk kemudahan mengecas telefon bimbit
- Hadir dengan suis lampu kecemasan untuk menjamin tahap keselamatan yang lebih baik sewaktu kecemasan atau ketika berhenti dalam hujan lebat
- Didatangkan dalam tiga pilihan warna iaitu Merah, Hitam dan Biru dengan jalur grafik baharu yang lebih segar, sporty dan menyerlah
- Lampu depan kini mempunyai rekaan baharu serta hadir dengan ciri multireflektor untuk pencahayaan yang lebih terang pada waktu malam
- Dilengkapi rim aloi baharu yang lebih sporty dengan tayar tanpa tiub (tubeless)
- Tempat duduk telah dikemaskini dengan material baharu yang lebih selesa
- Penutup enjin dan pelindung ekzos kini diperkemaskan dengan warna baharu titanium grey bagi menggantikan warna hitam pada model sebelumnya
Ciri-ciri terdahulu seperti ruang simpanan barang-barang di bawah tempat duduk seluas 6.6 liter masih dikekalkan, termasuklah sistem suspensi yang terdiri daripada fork depan jenis teleskopik, penyerap hentak jenis berkembar di bahagian belakang, sistem brek jenis gelendong di bahagian roda belakang dan tangki petrol dengan kapasiti 4.2 liter.
Sama seperti model terdahulu, Modenas Kriss 110 2021 dikuasakan enjin 107cc (4-lejang, SOHC, 1-silinder) dengan sistem penyampaian bahan api jenis karburator, sistem sejukan udara dan kotak gear empat kelajuan berputar. Kuasa maksimumnya berada pada paras 6.7PS @ 8,000rpm dengan tork maksimum 6.7Nm @ 6,000rpm.
Modenas Kriss 110 2021 diiktiraf sebagai model bertaraf EEV yang cekap penggunaan bahan api, serta patuh piawaian emisi Euro 3. Tempoh jaminan yang diberikan adalah selama 2 tahun atau 20,000 km. Sebagai sebuah model yang menerima gelaran ikon rakyat, harga asas yang ditawarkan sangat berpatutan iaitu RM 3,877.00 sahaja.