Kymco baru-baru ini memperkenalkan sebuah model skuter elektrik yang tampil dengan gaya rekaan sporty dan berani, dikenali dengan nama Kymco F9. Model skuter tersebut dilengkapi motor elektrik (brushless DC motor) dengan bateri lithium-ion berkapasiti 96V / 40Ah, menghasilkan kuasa maksimum 12.78PS (9.4kW) dan tork puncak 30Nm.
Sebagai sebuah model skuter elektrik yang canggih, Kymco F9 dilengkapi transmisi automatik dua kelajuan, yang mana ianya merupakan yang pertama di dunia untuk sesebuah model motosikal elektrik. Kymco F9 mampu melakukan pecutan dari sifar ke 50 km/j dalam tempoh hanya 3 saat, sebelum mencapai kelajuan maksimum 110 km/j.
Kymco F9 mampu mencapai jarak perjalanan sehingga 120 km sekali cas. Pengecasan pantasnya pula hanya mengambil masa selama 2 jam sahaja untuk mengecas bateri sehingga penuh. Spesifikasi lain ialah ketinggian tempat duduk hanya 790 mm, tayar depan 110/80-14, tayar belakang 140/70-14, serta berat 107 kg (berat bateri 17 kg).