Laman Facebook rasmi Kawasaki Motors Vietnam baru-baru ini telah memberikan bayangan bahawa syarikat tersebut bakal melancarkan beberapa buah model motosikal terbaharu, pada tarikh 23hb. November 2020 akan datang. Salah sebuah daripadanya ialah Kawasaki Ninja ZX-25R 2021 yang dilengkapi enjin 250cc empat silinder.
Sebelum ini Kawasaki Motors Vietnam telah menyiarkan ‘teaser’ awal untuk model berkenaan, secara rasminya mengesahkan kedatangannya ke pasaran Vietnam. Setakat ini Kawasaki Ninja ZX-25R telah dilancarkan di pasaran Indonesia, Thailand, Jepun dan Filipina, dan bakal masuk ke pasaran Mexico pada bulan Februari 2021.
Apabila dilancarkan di pasaran Vietnam nanti, tumpuan utama untuk model tersebut sudah pasti berkenaan harga yang ditawarkan. Harga tersebut boleh menjadi panduan sekiranya ianya turut dilancarkan di pasaran Malaysia nanti, memandangkan harga motosikal di pasaran Vietnam tidak jauh berbeza dengan harga di pasaran Malaysia.
Berdasarkan jangkaan awal, harga untuk Kawasaki Ninja ZX-25R di pasaran Malaysia sekiranya dilancarkan nanti, akan mencecah sehingga angka RM 40k. Namun harga tersebut mungkin lebih rendah jika ianya dipasang oleh Modenas sebagai model versi pemasangan tempatan (CKD), berkemungkinan tidak akan melebihi angka RM 35k.