Adakah Kawasaki Ninja ZX-25R akan dipasang oleh Modenas? Berapakah pula harganya nanti?

Kawasaki Ninja ZX-25R merupakan satu-satunya model sport bike yang dilengkapi enjin 250cc empat silinder yang ditawarkan di pasaran ketika ini. Ianya hadir dengan beberapa spesifikasi premium seperti Assist & Slipper Clutch, KTRC (Kawasaki Traction Control), KQS (Kawasaki Quick Shifter), Ride-By-Wire dan Power Mode Selection.

Model tersebut turut dilengkapi panel instrumen digital yang canggih, lampu depan LED, fork depan upside-down dengan diameter 37 mm menggunakan teknologi SFF-BP (Separate Function Fork – Big Piston), suspensi belakang monoshock Horizontal Back-Link, dan sistem brek ABS dengan cakera depan 310 mm dan belakang 220 mm.

Oleh kerana ianya merupakan sebuah model bertaraf premium di dalam segmennya, harga yang ditawarkan di pasaran luar negara bagi varian Standard dan SE berada dalam lingkungan RM 28k sehingga RM 35k. Jika ianya dilancarkan di pasaran Malaysia nanti, harganya dipercayai boleh menjangkau lebih tinggi sehingga RM 40k.

Setakat ini pihak Kawasaki Motors (Malaysia) Sdn. Bhd. (KMSB) belum mengeluarkan sebarang kenyataan rasmi mengenai pelancaran Kawasaki Ninja ZX-25R di pasaran Malaysia. Ini telah menimbulkan spekulasi bahawa KMSB tidak bercadang untuk melancarkan Ninja ZX-25R di pasaran tempatan, disebabkan faktor harga yang tinggi.

Pada masa yang sama di kalangan peminat motosikal tempatan sejak akhir-akhir ini, ramai yang menjangkakan bahawa Ninja ZX-25R akan dipasang oleh Modenas di kilang mereka di Gurun, Kedah. Ini bagi membolehkan model tersebut ditawarkan pada harga yang lebih kompetetif agar ianya mampu menarik minat lebih ramai pembeli.

Jangkaan tersebut sememangnya mempunyai asas yang kukuh, memandangkan pihak Modenas pada bulan Februari 2020 yang lepas telah mengumumkan bahawa mereka akan memasang lapan buah model Kawasaki dengan memberi tumpuan kepada segmen di bawah 700cc, dengan model pertama ialah Modenas Ninja 250 SE ABS.

Cuma yang menjadi persoalannya ketika ini ialah adakah Kawasaki Ninja ZX-25R akan termasuk di dalam senarai lapan buah model yang akan dipasang oleh Modenas nanti? Setakat ini pihak Modenas dilaporkan belum membuat keputusan sama ada akan turut memasang model yang ditunggu-tunggu itu, namun ianya bukanlah perkara mustahil.

Berkenaan harga jika Modenas benar-benar akan memasang Kawasaki Ninja ZX-25R khusus untuk pasaran Malaysia, ianya dijangka akan berlegar-legar dalam lingkungan sekitar RM 28k sehingga RM 35k, hampir sama seperti mana harga yang ditawarkan di pasaran ASEAN. Harga yang lebih rendah daripada itu pastinya sukar menjadi realiti.

Sehinggalah pihak KMSB dan Modenas mengeluarkan kata putus mengenai kehadiran Kawasaki Ninja ZX-25R di pasaran Malaysia, sudah tentu lebih banyak spekulasi akan muncul selepas ini. Bagaimanapun dengan jangkaan bahawa ianya akan dipasang oleh Modenas, pastinya disambut baik oleh ramai peminat motosikal tempatan.

(Visited 7,145 times, 1 visits today)