Motosikal kapcai GPX Rock 2020 terbaharu dilancarkan di pasaran Thailand

GPX Thailand baru saja melancarkan sebuah model motosikal kapcai terbaharu yang diberi nama GPX Rock, tampil dengan gaya rekaan moden dan cukup menyerlah bertemakan muzik dan gaya hidup Rock. Model tersebut didatangkan dalam tiga pilihan varian yang diberi nama Rock Elegance, Rock Racing dan Rock Sport.

Bagi varian Rock Elegance dan Rock Racing, ianya dilengkapi rim aloi dengan sepasang penyerap hentak belakang dengan tabung gas, manakala varian Rock Sport dilengkapi rim jenis lidi dengan penyerap hentak biasa dengan ciri boleh laras. Perbezaan lain ialah dari segi pilihan skim warna yang pelbagai dan cukup elegan.

Antara ciri-ciri menarik yang melengkapi GPX Rock termasuklah sistem lampu LED sepenuhnya, panel meter digital dengan teknologi boleh laras (adjust or set) melalui sentuhan lembut yang terletak di bahagian bawahnya, sistem kunci dengan ciri keselamatan (safety lock) dan rekaan tempat duduk yang selesa dan bergaya.

Selain itu ianya turut dilengkap sistem penghidup enjin jenis elektrik dan tendang, raga di bahagian dengan dengan ciri kunci (busket lock), pemegang belakang (rear grip), lencana GPX dan Rock 3D, brek cakera 220 mm di bahagian depan, brek dram di bahagian belakang dan ekzos yang tampil dengan rekaan yang anggun dan sporty.

GPX Rock dikuasakan enjin bersesaran 109cc (SOHC, 1-cylinder, 4-stroke) dengan sistem penyejukan udara dan sistem suntikan bahan api elektronik GPX-Fi, seterusnya dipadankan kotak gear empat kelajuan. Enjin tersebut mematuhi piawaian emisi Euro 4. Tangki bahan apinya mempunyai kapasiti maksimum 4.0 liter, berat motosikal 100 kg (net weight) dan dilengkapi tayar tanpa tiub depan dan belakang berukuran 17 inci.

Untuk pasaran Thailand, GPX Rock ditawarkan pada harga THB 37,900 untuk varian Rock Elegance dan Rock Racing, bersamaan RM 5,054.14 mengikut kadar semasa. Bagi varian Rock Sport, harganya ialah THB 35,900, bersamaan RM 4,787.43 mengikut kadar semasa. Tempoh jaminan yang diberikan adalah selama 3 tahun atau 30,000 km.

Setakat ini belum ada maklumat rasmi sama ada GPX Rock ini akan dibawa masuk ke pasaran Malaysia atau pun tidak. Jika ianya dilancarkan di pasaran negara kita, pasti menarik kerana ianya akan dijual bersama-sama model kapcai GPX POPz 110.

(Visited 7,668 times, 3 visits today)