Untuk pasaran domestik Jepun, Kawasaki Z400 model tahun 2021 kini diperkenalkan dengan kemaskini warna dan grafik baharu. Spesifikasi teknikal lain bagaimanapun tiada sebarang perubahan. Model naked tersebut akan berada di pasaran secara rasmi mulai tarikh 06hb. November 2020, sama seperti model Kawasaki Z250 2021.
Kawasaki Z400 dilengkapi enjin bersesaran 398cc (water-cooled, 4-stroke, parallel 2-cylinder, DOHC 4-valve) dengan transmisi enam kelajuan, menghasilkan kuasa maksimum 48PS @ 10,000rpm dan tork maksimum 38Nm @ 8,000rpm. Untuk operasi tunggangan yang lancar, ianya dilengkapi dengan sistem Assist & Slipper Clutch.
Beralih ke sistem suspensi, ianya terdiri daripada fork teleskopik 41 mm di bahagian depan, yang kemudiannya digandingkan bersama-sama suspensi belakang monoshock dengan ciri pelarasan prabeban. Untuk keselamatan, sistem breknya dilengkapi ABS dengan gandingan brek cakera depan 310 mm dan brek cakera belakang 220 mm.
Ciri-ciri lain yang melengkapi Z400 termasuklah panel meter digital dengan paparan pelbagai maklumat, lampu depan dan belakang LED, ketinggian tempat duduk 785 mm, tangki bahan api dengan kapasiti 14 liter, tayar depan dalam siri 110/70-R17 M/C 54H, tayar belakang dalam siri 150/60-R17 M/C 66H dan berat motosikal 166 kg.
Kawasaki Z400 2021 didatangkan dalam dua pilihan warna dan grafik baharu yang menarik iaitu Candy Lime Green x Metallic Flat Spark Black dan Metallic Flat Spark Black x Metallic Spark Black. Harga jualannya di pasaran Jepun ditetapkan sebanyak 682,000 Yen, bersamaan RM 26,765.10 berdasarkan kadar tukaran semasa.
Sumber gambar : Kawasaki1ban.com