Ducati Multistrada V4 2021 dilengkapi sistem radar, akan diperkenalkan secara rasmi pada 04hb. November 2020

Ducati mengumumkan ketibaan model terbaharu Ducati Multistrada V4 2021, yang kini telah masuk ke barisan pengeluaran di kilang mereka yang terletak di Borgo Panigale, Bologna, Itali. Perincian mengenai enjin V4 akan diumumkan pada tarikh 15hb. Oktober 2020, diikuti pelancaran rasmi yang akan berlangsung pada 04hb. November 2020.

Selain daripada enjin V4 terbaharu, tumpuan utama juga adalah kepada sistem radar yang bakal melengkapi model pengembaraan itu, merupakan yang pertama di dunia untuk sesebuah model motosikal. Menurut Ducati, dua unit radar akan dipasang di bahagian depan dan belakang, bersaiz hanya 70 x 60 x 28 mm dengan berat 190 gram.

Unit radar di bahagian depan akan mengawal operasi sistem ACC (Adaptive Cruise Control), yang mana ianya akan mengawal operasi brek dan pecutan secara automatik dan melaraskan jarak (dapat dipilih dari empat tahap) daripada kenderaan lain ketika ditunggang pada kelajuan antara 30 dan 160 km/j. Sistem tersebut membolehkan perjalanan menjadi lebih selesa terutamanya di atas lebuh raya yang panjang.

Radar belakang pula boleh mengesan dan melaporkan kenderaan lain yang berada pada kedudukan yang dipanggil titik buta (blind spot), kawasan yang tidak dapat dilihat secara terus oleh penunggang atau melalui cermin pandang belakang. Sistem BSD (Blind Spot Detection) juga akan memberi isyarat apabila terdapat kenderaan dari belakang yang menghampiri pada kelajuan tinggi.

Dengan pengenalan Ducati Multistrada V4 2021 yang dilengkapi sistem radar yang canggih, dijangkakan model-model motosikal lain akan turut diperkenalkan dengan sistem yang sama pada masa akan datang. Sistem radar telah terbukti mampu meningkatkan lagi ciri-ciri keselamatan untuk sesebuah kenderaan di atas jalan raya.