BMW G 310 GS merupakan model terkecil di dalam siri GS keluaran BMW Motorrad, diperkenalkan buat pertama kali dalam tahun 2016 yang lalu. Kini model tersebut diperkenalkan semula dalam versi kemaskini terbaharu untuk tahun 2020, tampil dengan spesifikasi teknikal yang dipertingkatkan dan pilihan warna yang lebih segar.
Antara kemaskini terbaharu yang diperkenalkan untuk model tersebut ialah ianya kini didatangkan sistem lampu LED sepenuhnya dengan ciri lampu DRL LED, tuas tangan dengan empat pelarasan untuk sistem brek dan klac, dan pilihan dua warna terbaharu Rallye style dan skim warna edisi “40 Years GS” daripada model ikonik R 100 GS.
Beralih ke sistem penjana kuasa, BMW G 310 GS model tahun 2020 terbaharu ini masih mengekalkan enjin empat lejang satu silinder berkapasiti 313cc dengan sistem penyejukan cecair. Enjin berkenaan dipadankan dengan transmisi enam kelajuan bersama-sama sistem klac dengan teknologi baharu ‘self-boosting anti-hopping clutch’.
Juga baharu ialah kelengkapan yang dipanggil ‘electronic throttle grip’ (electromotive throttle controller) yang menawarkan respon pendikit lebih sensitif, di samping ciri baharu ‘automatic idle speed increase’ yang menghalang kemungkinan enjin berhenti secara tiba-tiba. Enjin BMW G 310 GS juga telah mematuhi piawaian emisi Euro 5, dengan keluaran maksimum 34hp @ 9,500rpm dan tork puncak 28Nm @ 7,500rpm.
Aspek teknikal lain yang melengkapinya termasuklah fork depan upside-down 41 mm, suspensi belakang tunggal boleh laras pra-beban, sistem brek cakera dengan ABS, tangki bahan api dengan kapasiti maksimum 11 liter, tayar depan 110/80-R19, tayar belakang 150/70-R17, ketinggian tempat duduk 835 mm dan berat basah 169.5 kg.