Kawasaki Z400 2021 hadir dengan kemaskini warna baharu lebih segar

Untuk musim 2021, model naked Kawasaki Z400 2021 kini hadir dengan kemaskini warna baharu yang lebih segar. Setakat ini untuk pasaran Australia, model tersebut diperkenalkan dalam dua pilihan warna terbaharu yang bernama Pearl Nightshade Teal with Metallic Spark Black dan Candy Cardinal Red with Metallic Flat Spark Black. Untuk pasaran lain, dijangka akan turut didatangkan tambahan pilihan warna yang lain.

Spesifikasi teknikal bagaimanapun masih sama seperti model tahun sebelumnya, iaitu dilengkapi enjin berkapasiti 399cc (Parallel twin, liquid cooled, DOHC 8 valve) yang kemudiannya digandingkan dengan transmisi enam kelajuan dan sistem Assist & Slipper Clutch. Kuasa maksimum yang dihasilkan oleh enjin tersebut mencapai angka 44.8hp @ 10,000rpm dengan tork maksimum 38Nm @ 8,000rpm.

Kawasaki Z400 2021 juga kekal lincah dengan tahap kawalan dan pengendalian yang mantap, apabila dilengkapi fork teleskopik 41 mm di bahagian depan, bersama-sama suspensi monoshock di bahagian belakang yang boleh dilaraskan (Bottom-Link UNI-TRAK with 5-way adjustable preload). Sistem brek cakera depan dan belakang pula menawarkan ciri keselamatan yang lebih baik apabila dilengkapi sistem brek ABS.

Ciri-ciri menarik lain yang melengkapi Kawasaki Z400 2021 ini antaranya ialah paparan instrumen digital dengan takometer analog, handle bar yang lebar untuk kawalan yang lebih dinamik dan menyumbang kepada kemampuan membelok yang lebih mudah, lampu depan LED yang kelihatan agresif dan menawarkan suluhan yang terang, tangki bahan api dengan kapasiti maksimum 14 liter dan berat hanya 167 kg (curb mass).