Benarkah Suzuki Assemblers Malaysia bakal kembali dengan model kapcai dan moped?

Ada perkembangan menarik dalam dunia permotoran tanah air sejak akhir-akhir ini. Dikhabarkan bahawa Kawasaki Motors (Malaysia) Sdn. Bhd. (KMSB) bakal mengambil alih perjalanan syarikat Suzuki Assemblers Malaysia Sdn. Bhd. Tambahan pula Suzuki Assemblers telah pun menghentikan operasi mereka sejak 31hb. Julai 2020 yang lalu.

Namun setakat ini pihak KMSB masih belum membuat pengumuman secara rasmi. Jika benar, adakah perkara ini juga ada kaitan dengan pengambilalihan hak pengedaran motosikal Kawasaki di pasaran Malaysia, yang sebelum ini disebut-sebut akan bertukar tangan kepada Modenas? Semua khabar angin tersebut masih kelihatan samar-samar.

Kemudiannya, dikhabarkan juga bahawa Suzuki Assemblers di bawah pengurusan baharu nanti akan kembali kepada model perniagaan asal mereka sebelum ini, iaitu kembali menawarkan model-model motosikal kapcai dan moped, termasuk model-model skuter dengan enjin bersesaran rendah, khususnya di bawah kapasiti 250cc.

Sejak penghujung tahun 2016, Suzuki Assemblers telah menghentikan operasi kilang mereka di Prai, Pulau Pinang, sekaligus menghentikan jualan model-model kapcai, moped dan skuter. Syarikat tersebut kemudiannya hanya menawarkan model-model motosikal besar seperti Katana, GSX-R1000R, V-Strom 650 dan lain-lain model.

Jika benar Suzuki Assemblers akan kembali menjual model-model kapcai dan moped, ianya merupakan suatu berita baik yang selama ini ditunggu-tunggu oleh peminat dunia permotoran di Malaysia. Kehadiran semula Suzuki Assemblers bukan hanya sekadar nostalgia, malah lebih dari itu bakal memberikan saingan sihat di pasaran tempatan.

Namun masalahnya, bukanlah suatu perkara yang mudah untuk Suzuki Assemblers kembali menawan hati peminat motosikal tempatan ketika ini. Suzuki Assemblers perlu mempunyai model-model kapcai atau moped terbaharu yang benar-benar memenuhi citarasa peminat motosikal tempatan yang sememangnya cerewet dan pemilih.

Seperti mana kita semua tahu, pasaran motosikal moped di Malaysia sejak beberapa tahun yang lalu dikuasai oleh model-model seperti Yamaha Y15ZR, Honda RS150R, SYM VF3i 185 dan Benelli RFS150i. Namun berdasarkan pemerhatian terkini, Suzuki Assemblers didapati tidak mempunyai model-model setara yang boleh ditawarkan.

Jika ada yang mengatakan Suzuki Assemblers boleh menawarkan Suzuki Satria F150 (Suzuki Raider R150 FI) serba baharu bagi menyaingi keempat-empat model moped yang disebutkan tadi, mungkin perlu mengimbas kembali kegagalan model Suzuki Belang R150 suatu ketika dahulu. Model tersebut gagal memberikan impak yang kuat.

Bagaimanapun dalam segmen sport dan street, Suzuki Assemblers mempunyai kelebihan apabila boleh menawarkan dua model keluaran Suzuki antara yang terbaik buat masa ini, iaitu Suzuki GSX-R150 dan Suzuki GSX-S150. Pilihan kapcai mungkin model Suzuki Smash 110 atau Smash 115 FI, dan skuter popular Suzuki Address.

Kemungkinan tentang kemunculan semula Suzuki Assemblers dalam pasaran kapcai dan moped di pasaran tempatan sebenarnya merupakan suatu perjudian baharu dengan risiko yang sangat besar. Tanpa model-model terbaharu yang benar-benar mampu ‘membunuh’, tidak mustahil Suzuki Assemblers akan terkubur semula.

Atau mungkin juga KMSB akan memperkenalkan model perniagaan baharu yang lebih baik untuk Suzuki Assemblers, yang bakal memberikan kejutan kepada syarikat-syarikat lain yang selama ini berada pada kedudukan yang sangat selesa. Buat masa ini, sama-sama kita tunggu perkembangan selanjutnya yang bakal tiba tidak lama lagi.

p/s : Untuk makluman berdasarkan maklumat terkini, nama syarikat Suzuki Assemblers Malaysia Sdn. Bhd. dikatakan telah ditukar kepada nama baharu Suzuki Malaysia Sdn. Bhd. Kita tunggu pengumuman rasmi dari syarikat itu sendiri.

(Visited 3,486 times, 1 visits today)