Warna baharu Matte Blue untuk Yamaha NMAX 155 ABS 2020 di pasaran Jepun

Untuk pasaran Malaysia ketika ini, terdengar khabar angin bahawa model skuter Yamaha NMAX 155 versi facelift 2020 terbaharu mungkin akan dilancarkan pada Sabtu depan, bersama-sama model naked Yamaha MT-15 dan Yamaha MT-25.

Yamaha NMAX 155 2020 terbaharu sebelum ini muncul buat pertama kali di pasaran Indonesia pada Disember 2019, kemudiannya pasaran Thailand pada April yang lepas, dan baru-baru ini pada awal September ianya telah dilancarkan di pasaran Filipina.

Bagaimanapun jika anda menyangkakan bahawa pasaran Malaysia agak ketinggalan, sebenarnya Yamaha NMAX 155 versi lama masih lagi dijual di pasaran Jepun, sama seperti di Malaysia. Malah pasaran Jepun baru saja diperkenalkan dengan versi 2020, yang mana model tersebut kini tampil dengan pilihan warna terbaharu Matte Blue.

Dua lagi pilihan warna terdahulu iaitu Matte Gray dan White masih kekal ditawarkan seperti biasa. Agak menghairankan kenapa Yamaha tidak terus melancarkan versi paling terkini NMAX 155 untuk pasaran Jepun, sama seperti di pasaran ASEAN.

Spesifikasi teknikal untuk Yamaha NMAX 155 ABS 2020 di pasaran domestik Jepun masih sama seperti model tahun sebelumnya, iaitu dikuasakan enjin Blue Core berkapasiti 155cc VVA (liquid-cooled, 4-stroke, SOHC, 4-valve, single-cylinder).

Enjin tersebut dipadankan transmisi automatik dan menghasilkan kuasa maksimum 15PS @ 8,000rpm dan tork maksimum 14Nm @ 6,000rpm. Ianya dilengkapi tangki bahan api 6.6 liter, sistem brek cakera depan dan belakang dengan ABS, lampu depan dan lampu brek belakang LED, dan meter LCD dengan paparan pelbagai fungsi.

Yamaha NMAX 155 ABS 2020 ini turut mempunyai ruang simpanan seluas 24 liter di bawah tempat duduknya. Harga yang ditawarkan ialah 385,000 Yen, bersamaan RM 15,107.59, dan akan berada di pasaran Jepun secara rasmi mulai 16 September 2020.

(Visited 105 times, 1 visits today)