Model scrambler Benelli Leoncino 250 model tahun 2020 terbaharu secara rasminya dilancarkan di pasaran China baru-baru ini, pada tarikh 01hb. Ogos 2020. Model tersebut tampil dalam lima pilihan warna yang menarik seperti Kelabu, Merah, Coklat dan Putih, termasuk warna Perak yang menerima sentuhan warna Merah Jambu.
Harga yang ditawarkan untuk pasaran China adalah sebanyak 19,900.00 Chinese Yuan, bersamaan RM 12,018.90 mengikut kadar tukaran semasa, manakala bagi model edisi warna Merah Jambu, harganya ditetapkan sedikit tinggi kepada 20,500.00 Chinese Yuan, bersamaan RM 12,381.28 mengikut nilai kadar tukaran semasa.

Aspek spesifikasi teknikal memperlihatkan tiada sebarang perubahan berbanding model Leoncino 250 yang telah ditawarkan di pasaran negara lain sebelum ini, contohnya di pasaran negara kita Malaysia. Ianya dikuasakan enjin bersesaran 249.4cc satu silinder dengan kelengkapan sistem penyejukan cecair dan sistem suntikan bahan api.
Kuasa maksimum yang dihasilkan mencapai 26.8hp (20kW) @ 10,500rpm dengan tork maksimum 20.5Nm @ 8,000rpm. Enjin tersebut dipadankan transmisi enam kelajuan, dan tangki bahan apinya mampu mengisi sehingga 12.5 liter petrol. Berat Benelli Leoncino 250 berada pada paras 155 kg, sementara jarak kelegaan bumi 170 mm.
Benelli Leoncino 250 2020 terbaharu ini turut dilengkapi ciri-ciri menarik seperti sistem lampu LED, paparan meter digital, fork depan jenis terbalik, suspensi belakang tunggal, sistem brek cakera dengan ABS, termasuklah tayar depan dan belakang masing-masing dalam siri 110/70 R17 dan 150/60 R17 yang menjamin kestabilan tunggangan.









