Kemaskini warna baharu Yamaha Jupiter Z1 2020 untuk pasaran Indonesia

Jika di pasaran Malaysia terdapat model Yamaha Lagenda 115Z, di pasaran Indonesia pula terdapat model Yamaha Jupiter Z1. Kedua-duanya merupakan model yang sama, hanya berbeza dari segi nama sahaja. Terkini, Yamaha Jupiter Z1 2020 di pasaran Indonesia telah menerima kemaskini warna dan grafik baharu yang lebih segar.

Baru saja diperkenalkan kelmarin, Yamaha Jupiter Z1 2020 kini didatangkan kemaskini tiga pilihan warna baharu iaitu Metallic Blue, Metallic Red dan Metallic Black. Grafik baharu yang ditampilkan juga kelihatan lebih menarik dan sporty, di samping jalur putih pada sport rim untuk model berwarna merah dan biru, sama seperti model terdahulu.

Jika dibandingkan dengan model Yamaha Lagenda 115Z, perbezaan yang dapat dilihat ialah di bahagian lampu penunjuk arah (lampu signal) belakang. Yamaha Lagenda 115Z telah menerima reka bentuk versi terkini, iaitu jenis terpisah, manakala Yamaha Jupiter Z1 masih mengekalkan reka bentuk jenis bersepadu yang kelihatan lebih kemas.

Enjinnya bersesaran 113.7cc (satu silinder, SOHC, sistem penyejukan udara, sistem suntikan bahan api) dan dipadankan kotak gear empat kelajuan. Kuasa maksimum yang dihasilkan mencapai 9.9hp (7.4kW) @ 7,750rpm dengan tork maksimum 9.8Nm @ 6,750rpm. Tangki bahan apinya mempunyai kapasiti maksimum 4.1 liter.

Yamaha Jupiter Z1 2020 turut dilengkapi sistem penghidup jenis tendang dan elektrik, lampu depan berkembar, rekaan badan yang aerodinamik, dan enjin yang kuat melalui penggunaan teknologi Forged Piston. Untuk pemberhentian yang lebih selamat, model berkenaan didatangkan dengan sistem brek jenis cakera di bahagian roda depan.

Yamaha Jupiter Z1 model tahun 2020 terbaharu ini ditawarkan pada harga sebanyak Rp. 18,110,000, bersamaan RM 5,211.56 mengikut kadar tukaran semasa. Untuk peminat model motosikal seperti ini di pasaran Malaysia, ketika ini HLYM turut menawarkan Yamaha Lagenda 115Z SRT (Sepang Racing Team) GP Edition 2020.