Selepas Indonesia, Thailand dan Jepun, kini giliran pasaran Filipina pula untuk menerima kehadiran model Kawasaki Ninja ZX-25R 2021. Berdasarkan pemerhatian di dalam laman sesawang Kawasaki Filipina, negara kepulauan tersebut ditawarkan versi teratas sahaja, bermakna ianya hadir dengan spesifikasi serba lengkap.
Majlis pelancaran diadakan secara online pada tarikh 31hb. Julai 2020 baru-baru ini. Model tersebut boleh didapati dalam dua pilihan warna iaitu Candy Plasma Blue / Metallic Spark Black dan Lime Green / Ebony (KRT Edition). Harganya ditetapkan sebanyak Php 410,000, bersamaan RM 35,362.98 mengikut kadar tukaran semasa.
Untuk pasaran Filipina, Kawasaki Ninja ZX-25R menawarkan kuasa maksimum 43.5hp @ 15,500rpm dengan tork 21.2Nm @ 13,000rpm. Jumlah tersebut didapati sedikit rendah berbanding di pasaran Indonesia, yang berada pada paras 51PS @ 15,500rpm (dengan Ram Air) (50PS tanpa Ram Air) dengan tork 22.9Nm @ 14,500rpm.
Spesifikasi lain adalah sama seperti varian teratas di pasaran Indonesia, Thailand dan Jepun, antaranya dilengkapi sistem Assist & Slipper Clutch, Kawasaki Quick Shifter, sistem brek ABS, KTRC (Kawasaki Traction Control), dan fork depan USD berdiameter 37 mm menggunakan teknologi SFF-BP (Separate Function Fork – Big Piston).
Persoalannya kini ialah selepas pasaran Filipina, pasaran mana pula Kawasaki akan melancarkan model Ninja ZX-25R ini? Adakah pasaran Vietnam dan Singapura? Atau mungkin juga pasaran Malaysia. Apa yang penting ialah bersediakah kita semua untuk memiliki jentera 250cc empat silinder ini pada harga menjangkau RM 35,000.00?