Model sportbike dengan gaya rekaan sporty dan agresif, KTM RC 200 model tahun 2020 terbaharu, kini hadir di pasaran Malaysia dengan skim warna terbaharu yang lebih menarik. Berdasarkan maklumat di dalam laman sesawang Mudah.my, model tersebut ditawarkan pada harga RM 12,388.00, dipercayai sebagai harga asas sahaja.
KTM RC 200 2020 dilengkapi enjin empat lejang satu silinder bersesaran 200cc dengan padanan transmisi enam kelajuan. Enjin berkenaan menghasilkan kuasa maksimum 26hp (19kW) dengan tork setinggi 19.5Nm, dan ianya turut dilengkapi sistem penyejuk jenis cecair. Tangki bahan apinya pula mempunyai kapasiti maksimum 10 liter.
Untuk tunggangan dan pengendalian yang mantap, KTM RC 200 hadir dengan casis trellis, fork depan upside-down daripada WP, suspensi belakang monoshock juga berjenama WP, bersama-sama ketinggian tempat duduk 820 mm. Palang pemegang (handlebar) jenis clip-on seterusnya menawarkan posisi tunggangan yang sempurna.
Untuk pemberhentian yang selamat, sistem brek depan hadir dengan cakera tunggal berdiameter 300mm dengan kaliper tetap radial empat piston, manakala brek cakera belakang berukuran 230 mm tampil dengan kaliper terapung satu piston tunggal. Sistem ekzos pula tampil dengan gaya rekaan kompak dan berada di posisi paling bawah.
KTM RC 200 turut dilengkapi lampu depan berkembar yang berkuasa, skrin penghadang angin yang dioptimumkan, instrumen digital LCD, lampu signal depan yang diintegrasikan pada struktur cermin pandang belakang, rekaan ekor belakang yang aerodinamik, dan tempat pemijak kaki (footpegs) bertaraf premium dan sangat kukuh.
Tidak dilupakan ialah rim aloi ringan berwarna oren yang dipadankan tayar premium dengan ukuran lebar 110 mm di bahagian depan dan 150 mm di bahagian belakang. Secara keseluruhannya, KTM RC 200 2020 ini boleh dikatakan menawarkan pakej lengkap untuk sebuah model sportbike di dalam kelas 200cc di pasaran tempatan.