Hong Leong Yamaha Motor Sdn. Bhd. hari ini mengumumkan kemaskini warna dan grafik baharu untuk Yamaha MT-09 2020, dalam dua pilihan iaitu Yamaha Blue dan Ice Fluo. Untuk pasaran tempatan, model naked agresif itu masih mengekalkan harga terdahulu RM 48,920.00, tidak termasuk kos pendaftaran, insuran dan cukai jalan.
Aspek prestasi memperlihatkan Yamaha MT-09 masih dikuasakan enjin bersesaran 847cc (3-cylinder, liquid-cooled, 4-stroke, DOHC, 4-valves), dengan hamburan kuasa maksimumnya mencapai 115PS @ 10,000rpm dan tork puncak 87.5Nm @ 8,500rpm. Kuasa yang terhasil disalurkan ke jalan raya melalui transmisi enam kelajuan, yang dibantu oleh sistem QSS (Quick Shift System) dan A & S (Assist & Slipper Clutch).
Dengan berat 193 kg (wet weight) dan tangki minyak dengan kapasiti penuh 14 liter, Yamaha MT-09 model tahun 2020 ini dibekalkan sistem brek ABS untuk pemberhentian yang lebih selamat dan cekap. Suspensi depan upside-down dan belakang monoshock pula menyempurnakan aspek pengendalian dan keselesaan untuk jentera berkenaan.
Untuk kawalan yang lebih tepat mengikut situasi tunggangan dan permukaan jalan yang berbeza, Yamaha MT-09 dilengkapi sistem D-Mode dengan fungsi penyesuaian watak kuasa enjin daripada ringan kepada agresif. Pada masa yang sama teknologi TCS (Traction Control System) sentiasa bersedia untuk mencapai tahap kawalan tertinggi.
Sementara itu, lampu depan LED jenis projektor dan lampu belakang LED, serta rekaan baharu ekor belakang dan pemegang nombor plat yang dipasangkan pada lengan ayun, menyerlahkan lagi reka bentuk baharunya. Paparan panel instrumen LCD yang kompak seterusnya memberikan pelbagai maklumat penting kepada penunggang.