Salah sebuah model keluaran Demak yang seringkali mencuri tumpuan ramai suatu ketika dahulu ialah Demak Evo Z 110. Ini kerana penampilannya mirip model moped popular Yamaha 135LC V1. Bagi individu yang kurang arif mengenai dunia motosikal, sekali pandang mereka akan mengatakan Demak Evo Z 110 ialah Yamaha 135LC V1.
Demak Evo Z 110 dilengkapi enjin berkapasiti 110cc (4-Stroke, Single Cylinder, Air Cooled) yang dipadankan dengan transmisi empat kelajuan. Kuasa maksimum yang dihasilkan oleh enjin tersebut mencapai 7.8hp (5.8kW) @ 7,500rpm dengan tork 7.8Nm @ 6,500rpm. Sistem penghidup enjin terdiri daripada jenis tendang dan juga elektrik, manakala tangki minyaknya sudah memadai dengan kapasiti penuh 4 liter.
Antara ciri-ciri menarik yang ditawarkan oleh Demak Evo Z 110 ini selain daripada reka bentuknya yang sporty, ianya termasuklah rim aloi bergaya, sistem brek cakera di bahagian roda depan, suspensi belakang monoshock dan paparan meter dengan ciri penunjuk kedudukan gear. Harga jualannya dipercayai dalam lingkungan mampu milik.
Ketika ini tidak dapat dipastikan sama ada Demak Evo Z 110 masih dijual di pasaran atau pun tidak, kerana kilang Demak telah pun ditutup. Mungkin ianya merupakan sebuah model kapcai yang layak digelar sebagai motosikal klon, namun penerimaan peminat dan pembeli sebenarnya adalah berdasarkan minat masing-masing.