
Peugeot Motocycle sudah hadir di Malaysia dengan membawa 3 model skuter premium untuk memenuhi citarasa pengguna yang inginkan model skuter berstatus premium.
Tiga model yang dilancarkan ini membabitkan model Peugeot XP400 GT, Peugeot SpeedFight 4+ dan dua varian Peugeot Django iaitu Classic dan Cafe Racer. Artikel ini akan fokus kepada model XP400 GT.
Peugeot XP400 GT
Skuter ini akan diimport (CBU) ke pasaran Malaysia. Sebagai permulaan, 100 unit akan dibawa masuk untuk tahun ini. Harga badan disyorkan RM43,990 tak termasuk insurans, cukai jalan dan pendaftaran.
30 pembeli terawal model Peugeot XP400 GT ini akan menerima dua aksesori secara percuma iaitu bar perlindungan (crash bar) dan kotak simpanan atas (box) Peugeot bernilai RM2,000.

- Dua warna pilihan disediakan iaitu Shark Grey dan Snow White.
- Enjin jenis satu silinder 400cc SOHC 4-injap dengan sistem suntikan bahan api dan sejukan cecair. Output kuasa 36.7hp pada 8,150rpm dan tork 38.1Nm pada 5,400rpm.
- Sistem transmisi CVT dengan pacuan tali sawat.
- Meter gabungan dua meter analog dengan satu skrin digital berwarna jenis TFT 5 inci. Meter boleh disambung guna iConnect untuk paparan navigasi menggunakan petunjuk arah-ke-arah. Ada soket USB bawah pelana.
- Suspensi membabitkan fork terbalik (USD) 41mm KYB di hadapan dan absober tunggal KYB yang dipasang pada kedudukan hampir mendatar di sebelah kiri.
- Sistem brek cakera berkembar 295mm di hadapan, cakera tunggal 240mm di belakang. Ada Sistem Brek Anti-Kunci (ABS) depan belakang.
- Rim depan 17 inci dengan tayar 110/70, rim belakang 15 inci tayar 160/60.
- Ada pelindung tangan (hand guard). Ruang bawah tempat duduk boleh muat topi keledar muka penuh.
- Tangki minyak 13.5 liter. Panjang skuter 2,190mm, lebar 870mm, tinggi 1,190mm dan tinggi tempat duduk 815mm. Berat skuter 231kg.













































