
BRAAAP 2 Hours (B2H) Endurance akan kembali ke Litar Antarabangsa Petronas Sepang (SIC) pada 31 Ogos 2026, membawakan satu persembahan yang lebih menarik kali ini.
B2H 2026 tahun ini mencipta sejarah sebagai perlumbaan ketahanan Superbike dua jam dan Supersport ‘time attack’ pertama di Malaysia membabitkan jentera berkuasa tinggi.
Penganjurnya, BRAAAP Motorsports melakukan pembaharuan untuk memastikan acara ini ada kelas tersendiri.

Antara perkara dibuat ialah naik taraf format perlumbaan kepada susun atur litar penuh tahun ini berbanding separuh litar tahun lalu.
Bukan itu sahaja, tapak operasi pasukan dan fasiliti perlumbaan akan dipindahkan ke Paddock Utama SIC.
Tujuan perpindahan ini adalah untuk memberi aura kejohanan bertaraf antarabangsa dan memastikan aspek keselesaan tertinggi dirasai pelumba, kru serta penonton.
Keunikan tetap dikekalkan iaitu perlumbaan akan bermula dengan gaya ikonik ala perlumbaan 24 Jam Le Mans iaitu para pelumba kena lari rentas trek untuk dapatkan jentera masing-masing.
Perlumbaan endurance ini berpotensi menarik minat dan juga penyertaan daripada pelumba dari luar negara.
Aspek keselamatan diambil berat iaitu setiap pelumba wajib memiliki lesen perlumbaan yang sah daripada MAM (rakyat Malaysia) atau FMN (pelumba antarabangsa).

Pengerusi BRAAAP Motorsports, Azuan Izadee berkata:
“Maklum balas yang diterima daripada komuniti pemotoran amat luar biasa. Berikutan sokongan padu itu, kami berani mengambil langkah membesarkan skala perlumbaan ke Paddock Utama dan menggunakan litar penuh tahun ini.
“Biarpun terdapat sedikit kekangan berikutan situasi geopolitik global ketika ini, saya yakin cabaran ini dapat diatasi dan perlumbaan akan berjalan lancar.
“Selain aksi di litar, pelbagai acara luar litar termasuk jualan, pameran, dan cabutan bertuah sedang dirangka untuk pengunjung. Banyak lagi kejutan akan kami umumkan kelak.”
Acara B2H 2026 mendapat pengiktirafan rasmi Persatuan Sukan Pemotoran Malaysia (MAM) dan disokong Kementerian Belia dan Sukan (KBS).
Jika berminat sahut cabaran B2H 2026, ada promosi yuran sedang berlangsung iaitu:
- Promosi Flash Sale 50 (Potongan 50%): 1 hingga 15 Mei 2026.
- Promosi Early Bird (Potongan 30%): 16 Mei hingga 15 Julai 2026.
Dalam perkembangan berasingan, Azuan juga berkongsi khabar gembira khas untuk peminat jentera moped atau kapcai iaitu pihak penganjur ada perancangan merangka perlumbaan khas untuk kategori itu pada tarikh lain.

