Kawasaki Ninja 400 SE ABS 2020 di pasaran Malaysia – RM 29,998.00

Ketika ini peminat motosikal tempatan dengan sabar menantikan pelancaran model terbaharu Kawasaki Ninja ZX-25R 2020. Pada masa yang sama ramai tertanya-tanya sama ada model tersebut akan dilancarkan di pasaran Malaysia atau pun tidak, atau akan menerima nasib yang sama seperti mana dialami oleh model Honda CBR250RR.

Bagaimanapun, masih terdapat pilihan yang menarik untuk sebuah jentera sportbike kelas permulaan dari Kawasaki Motors (Malaysia) Sdn. Bhd. ketika ini, apabila mereka menawarkan Ninja 400 SE ABS 2020 dalam pilihan warna KRT Edition. Berdasarkan maklumat dari wakil pengedar Kian Huat Marketing Sdn. Bhd. yang diiklankan di dalam Mudah.my, harga asas untuk model tersebut hanya RM 29,998.00 sahaja.

Harga tersebut boleh dikatakan sangat menarik dan berpatutan kerana Ninja 400 SE ABS ini mempunyai spesifikasi yang boleh dikatakan cukup mantap. Antaranya ialah enjinnya hadir dalam sesaran 399cc (Liquid-cooled, 4-stroke Parallel Twin) dengan gandingan kotak gear enam kelajuan, dan mampu menghasilkan kuasa maksimum pada angka 45PS @ 10,000rpm dengan tork puncak 38Nm @ 8,000rpm.

Selain itu, Ninja 400 SE ABS juga didatangkan dengan pelbagai ciri-ciri menarik seperti sistem brek ABS dan cakera depan 310 mm, Assist & Slipper Clutch, lampu depan LED jenis berkembar, paparan meter yang sofistikated dan berinformasi, posisi tunggangan yang santai dan sporty, ketinggian tempat duduk hanya 785 mm, berat 168 kg dan tangki bahan api dengan isian maksimum 14 liter untuk sesi tunggangan lebih jauh.

Bagaimanapun apa yang mungkin menjadi kekurangan Ninja 400 SE ABS ini ialah apabila bakal pemiliknya perlu menaik taraf lesen motosikal daripada kelas B2 kepada kelas B1 atau B Full. Inilah yang membuatkan ramai peminat motosikal tempatan lebih selesa untuk hanya memiliki motosikal dengan enjin di bawah 250cc.

Tetapi kepada yang berjiwa kental, Ninja 400 SE ABS ini mungkin boleh menjadi salah satu alternatif awal yang terbaik sementara menantikan kehadiran Ninja ZX-25R.