Kawasaki Z125 2020 terima kemaskini warna baharu

Sama seperti Ninja 125 yang merupakan model terkecil dalam siri Ninja ketika ini, begitu juga dengan model Z125 yang merupakan model terkecil dalam siri Z. Kedua-dua model tersebut sebelum ini diperkenalkan bersama-sama pada penghujung tahun 2018, sebelum masuk ke pasaran Eropah pada tahun kemudiannya.

Untuk musim ini, Kawasaki Z125 model tahun 2020 turut menerima kemaskini warna baharu, dalam tiga pilihan warna kesemuanya seperti Metallic Flat Spark Black / Pearl Flat Stardust White, Metallic Flat Spark Black / Metallic Spark Black dan Candy Lime Green / Metallic Spark Black. Aspek teknikal buat masa ini tiada sebarang perubahan.

Dikuasakan enjin satu silinder dalam kapasiti 125cc (liquid-cooled, 4-stroke, DOHC, 4 valves) yang kemudiannya digandingkan dengan sistem suntikan bahan api, sistem penghidup elektrik dan transmisi enam kelajuan, Z125 menawarkan kuasa maksimum sebanyak 15PS @ 10,000rpm dan tork puncak 11.7Nm @ 7,700rpm.

Sistem suspensi depan untuk Z125 ditugaskan kepada fork teleskopik dengan diameter 37 mm, manakala di bahagian belakangnya boleh didapati penyerap hentak jenis tunggal (Uni-Trak, gas-charged shock with adjustable preload). Sementara itu, sistem brek dengan ciri keselamatan ABS menampilkan cakera 290 mm di bahagian depan dan 220 mm di bahagian belakang, masing-masing dilengkapi kaliper dwi-piston.

Kawasaki Ninja Z125 2020 hadir dengan dimensi jarak roda 1,330 mm, ketinggian pelana 815 mm, jarak kelegaan tanah 185 mm, berat motosikal 146 kg (curb mass), dan tangki bahan api dengan isian penuh 11 liter. Untuk pengendalian yang lincah dan terkawal, jentera naked berperwatakan kompak ini dilengkapi tayar depan dalam siri 100/80-17M/C 52S dan tayar belakang dalam siri 130/70-17M/C 62S.

Sama seperti Ninja 125, Z125 juga hadir dengan paparan instrumen digital sepenuhnya yang memberikan pandangan moden dan sporty. Untuk pasaran Eropah, saingan sebenar Z125 antaranya ialah Yamaha MT-125, Suzuki GSX-S125 dan Aprilia Tuono 125. Setakat ini Z125 tidak ditawarkan untuk pasaran ASEAN termasuk Malaysia.

(Visited 143 times, 1 visits today)