Yamaha Tracer 700 model tahun 2020 tampil dengan wajah baharu lebih dinamik dan agresif

Dalam bulan November 2019 yang lepas, Yamaha telah memperkenalkan Tracer 700 model tahun 2020 yang kini tampil dengan wajah terbaharu lebih dinamik dan agresif. Model Sport Touring tersebut kini menampilkan lampu posisi LED berkembar berbentuk mata dan juga lampu jenis projektor berkembar yang berkuasa dan moden.

Yamaha Tracer 700 dikuasakan enjin berkonsepkan crossplane yang bersesaran 689cc (2-cylinder, 4-stroke, liquid-cooled, DOHC, 4-valves), mampu menjana kuasa maksimum sehingga 54kW (72.4hp) @ 8,750rpm dengan tork maksimum 68Nm @ 6,500rpm. Menurut Yamaha, enjin CP2 tersebut kini telah mematuhi piawaian Euro5. Enjin tersebut kemudiannya dipadankan dengan transmisi enam kelajuan.

Berperwatakan lincah dan mempunyai prestasi yang mengujakan, Yamaha Tracer 700 mempunyai berat basah hanya 196 kilogram, manakala tangki bahan apinya mempunyai isian maksimum sehingga 17 liter. Ini bukan saja membolehkan motosikal tersebut ditunggang ke mana saja destinasi sama ada di desa atau di kota, malah mampu pergi lebih jauh tanpa perlu kerap mengisi petrol.

Ciri-ciri lain yang menjadikan Yamaha Tracer 700 ini lebih menarik antaranya adalah seperti sistem suspensi depan dan belakang boleh laras, skrin penghadang angin aerodinamik dengan pelarasan mudah menggunakan hanya sebelah tangan, ciri tunggangan yang selesa dan ergonomik, lampu belok jenis LED kompak yang kelihatan bergaya dan moden, termasuklah panel meter LCD negatif pelbagai informasi.

Untuk pasaran Eropah, Yamaha Tracer 700 model tahun 2020 ini didatangkan dengan tiga pilihan warna iaitu Icon Grey, Phantom Blue dan Sonic Grey. Model tersebut bakal tiba di bilik pameran wakil jualan Yamaha mulai bulan Mac 2020.