Pada pertengahan bulan Disember 2019 yang lepas, Hong Leong Yamaha Motor (HLYM) telah mengumumkan ketibaan model skuter Yamaha Ego Solariz yang kini didatangkan dengan empat pilihan warna baharu yang menarik. Keempat-empat pilihan warna tersebut ialah Cyan, Emas, Merah dan Biru (Cyan, Gold, Red and Blue).
Yamaha Ego Solariz merupakan sebuah model skuter yang bergaya, dilengkapi enjin Blue Core 125cc dengan transmisi automatik, menghasilkan kuasa maksimum 7.0kW @ 8,000rpm dengan tork maksimum 9.6Nm @ 5,500rpm. Ciri-ciri lain yang melengkapi Ego Solariz termasuklah sistem penghidup elektrik, tangki bahan api maksimum 4.2 liter, ketinggian tempat duduk 750 mm dan sistem brek cakera di bahagian roda depan.
Untuk kemudahan, Yamaha Ego Solariz mempunyai ruang di bawah tempat duduk seluas 10 liter untuk simpanan barang-barang. Menurut HLYM, harga jualan asas yang disyorkan masih sama seperti sebelumnya iaitu RM 5,234.00 (tidak termasuk kos pendaftaran, insuran dan cukai jalan). Untuk anda, saksikan gambar-gambar menarik Yamaha Ego Solariz 2019 terbaharu dalam paparan galeri di bawah.