
Lambretta Malaysia membuka premis bilik pameran rasmi mereka di Kota Bharu di Kelantan, membawa jenama mereka terus kepada pengguna yang berada di kawasan Pantai Timur negara.
Premis terbaharu itu adalah strategi mereka meluaskan tawaran produk lebih dekat kepada bakal pembeli di Kelantan, menawarkan khidmat servis dan alat ganti kepada pemilik sedia.


Bilik pameran mereka dibuka di Jalan Sultan Ibrahim di Kota Bharu hasil kerjasama dengan TKC Motor Shop.
Seperti diketahui, komuniti di Kelantan merupakan antara pemilik teramai model Lambretta dan ini sudah tentunya satu berita baik buat mereka.
Berucap pada majlis pembukaannya, Pengarah Urusan Bike Continent, Ronnie Chen berkata:
“Kami amat berbesar hati dapat membawa Lambretta ke Kota Bharu. Kelantan mempunyai komuniti motosikal yang kuat dan kami percaya jenama ini mempunyai potensi besar untuk berkembang di sini.
“Bagi kami, pembukaan bilik pameran ini bukan sekadar tentang menjual skuter. Kami mahu pelanggan merasakan bahawa mereka sebahagian daripada keluarga Lambretta, menikmati pengalaman menunggang serta yakin bahawa mereka mempunyai pasukan yang boleh diharapkan setiap kali memerlukan bantuan dan sokongan.
“Kami juga amat menghargai kerjasama dengan TKC Motor Shop sebagai rakan niaga kami. Mereka memahami pelanggan dan komuniti setempat. Kami berharap pembukaan ini menjadi permulaan kepada sebuah perjalanan kerjasama yang panjang dan berjaya.”






















