TYT Pulau Pinang lawat Ibu Pejabat Boon Siew Honda

Yang di-Pertua Pulau Pinang (TYT), Tun Ramli Ngah Talib melawat ibu pejabat Boon Siew Honda (BSH) di Batu Kawan, Pulau Pinang baru-baru ini.

Lawatan beliau bertujuan mendapatkan gambaran lebih dekat tentang operasi BSH, meninjau pembangunan dan pembuatan motosikal dan barisan produk Honda yang ditawarkan kepada pengguna tempatan.

Beliau turut diberikan taklimat mengenai operasi perniagaan dan pembuatan di BSH sebelum dibawa meninjau barisan pengeluaran motosikal dan skuter.

Boon Siew Honda yang menapak di Pulau Pinang sejak tahun 1957 dan sepanjang tempoh itu syarikat memainkan peranan dalam perkembangan industri motosikal domestik.

BSH kini mempunyai seramai 362 pekerja yang memberi tumpuan kepada pembangunan tenaga kerja melalui latihan teknikal dan bukan teknikal untuk kakitangan serta rakan pengedar.

Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Boon Siew Honda, Kunitomo Asano berkata, sejarah panjang syarikat ini di Pulau Pinang menjadi asas kepada usaha berterusan BSH dalam memperkukuh inovasi, pembangunan tenaga kerja dan keupayaan pembuatan untuk memenuhi keperluan mobiliti rakyat Malaysia.

Sebuah Honda ADV160 turut diberikan kepada Pejabat TYT Pulau Pinang sebagai tanda penghargaan terhadap sokongan berterusan mereka terhadap aktiviti pengeluaran motosikal tempatan. Honda ADV160 itu akan digunakan untuk urusan komuniti rasmi pejabat termasuk urusan iringan.