SWM ‘intai’ pasaran Malaysia… skuter SC250X jadi tumpuan utama di Malaysia Bike Show 2026?

Mforce Bike Holdings (Mforce) akan mengetengahkan barisan produk jenama SWM sempena acara Mforce MotoXperience 2026 pada penghujung bulan ini.

Setakat ini, maklumat yang kami terima mengesahkan jenama SWM tidak akan dilancarkan pada hari kejadian. Mungkin kemudian hari…. sebabnya

Apa yang kami difahamkan ialah barisan produk SWM akan dibawa ke Malaysia untuk tujuan pertunjukan model-model akan datang (future model) dan jenama model bakal masuk negara ini (future brand).

SWM SC250X jadi tarikan utama?

Ini satu perubahan berbanding pameran motosikal Mforce semasa Malaysia Autoshow 2024 yang pernah mempamerkan barisan model akan datang dan tiada bayangan future brands.

SWM ialah singkatan kepada Speedy Working Motors, jenama yang diasaskan di Itali pada tahun 1971 sebelum tamat operasi pada 1983.

Firma China, Shineray Group membeli jenama SWM pada 2014 dan perkembangan itu diumumkan di Pameran Motosikal Milan (EICMA) pada tahun sama.

Dipantaskan masa… SWM menjadi sebutan semula dengan kemunculan beberapa produk di EICMA 2025, salah satunya ialah skuter 2-silinder SWM SC250X.

Seperti yang anda ketahui, SWM SC250X akan berada di dalam Dewan A di MAEPS Serdang sempena Malaysia Bike Show (MBS) 2026.

Apa yang membuatkan SWM SC250X ini jadi perhatian ramai ialah skuter adventure ini menggunakan konfigurasi enjin dua silinder sebaris.

Ini dikatakan skuter pertama kelas 250cc dunia dengan enjin 2-silinder sebaris.

Ada beberapa aspek teknikal mengenai SWM SC250X yang diketahui iaitu:

  • Enjin 2 silinder sebaris 249.6cc 8 injap dengan sistem sejukan cecair dan suntikan bahan api.
  • Output kuasa 18.5kW (24.8hp) pada 8,000rpm dengan tork puncak 23Nm pada 6,500rpm.
  • Skuter ini menggunakan tangki minyak sebesar 13.5 liter dengan anggaran jarak tunggangan sehingga 350km.
  • Enjin diposisi di bahagian tengah badan skuter (mid-engine layout) untuk membantu mendapatkan keseimbangan dan kestabilan.
  • Fork depan jenis terbalik dengan imbangan belakang digalas sistem monoshock multi-link.
  • Pacuan ke roda belakang menggunakan rantai, bukannya tali sawat seperti skuter biasa.
  • Sistem pencahayaan hadapan menggunakan 4 unit projektor LED dan ada lampu DRL LED. Instrumen meter jenis TFT.
  • Rim multi-jejari depan 17 inci dengan balutan tayar 120/70 dengan padanan rim 15 inci belakang berbalut tayar 160/60. Tayar digunakan jenis tanpa tiup (tubeless).
  • Berat skuter dianggarkan 185kg dan jarak bumi 135mm.
  • Tinggi pelana 790mm. Boleh muatkan 2 topi keledar (muka penuh dan separuh muka).
  • Sistem brek cakera tunggal untuk kedua-dua roda dengan Sistem Brek ABS dwi-saluran.
  • Penghadang angin boleh laras secara manual. Ada pelindung tangan (hand guard). Nampak macam ada dashcam depan belakang. Ada TPMS, soket USB dan teknologi Kawalan Cengkaman.