MForce Bike Holdings (MForce) sedang menyiapkan projek pembinaan sebuah pusat jualan dan servis baru di Kuala Lumpur yang dijangka siap menjelang bulan Oktober ini.
Pusat terbaru itu berkeluasan 70,000 kaki persegi yang akan menjadi pusat jualan dan hab servis terbesar milik MForce di Malaysia.
Kru kami difahamkan pelaburan dibuat lebih RM100 juta untuk projek ini termasuk bekalan stok alat ganti.
Pengumuman itu dibuat Ketua Pegawai Operasi MForce, Asri Ahmad semasa pelancaran model sportbike QJMOTOR SRK 250 R dan skuter elektrik YADEA RS20 di Banting, Selangor.
Hab terbaru itu bertempat tidak jauh dari lokasi pusat servis MForce sedia ada di Segambut.
Pembangunan pusat terbesar ini adalah untuk menampung keperluan khidmat selepas jualan jenama motosikal dan skuter di bawah kendalian MForce.
Antara kemudahan yang disediakan ialah ruangan lobi, pejabat jualan, bahagian tuntutan insurans, bekalan alat ganti dan servis khidmat selepas jualan.
Usaha meningkatkan lagi kemudahan servis selepas jualan MForce tidak terhenti di Segambut. Kru kami dimaklumkan MForce akan membuat pembangunan semula pusat servis mereka di Ipoh, Perak dan Johor.


