Honda ADV160 (2026) dengan RoadSync masuk Jepun bulan ini, anggaran harga RM13,600

Jepun akan menawarkan skuter Honda ADV160 edisi 2026 yang sudah dinaik taraf sama seperti apa dilakukan Thai Honda (Honda Motorcycle Thailand) di pasaran Thailand. Indonesia juga sudah menawarkan model sama.

Honda ADV160 (2026) menerima beberapa perubahan luaran termasuk meter baharu 5 inci jenis TFT berwarna dan fungsi Honda RoadSync. Skuter ini adalah buatan kilang di Thailand.

Malaysia? Mungkin tidak lama lagi……

Warna baharu Honda ADV160 (2026)

Honda ADV160 (2026) dengan Honda RoadSync akan ditawarkan dengan tiga pilihan warna termasuk dua warna baharu seperti berikut:

  • Matte Pearl Agile Blue (warna baharu)
  • Matte Gunpowder Black Metallic (warna baharu)
  • Pearl Smoky Gray

Honda ADV160 (2026) naik harga?

Honda ADV160 (2026) akan mula dijual di Jepun bermula 21 Mei 2026 dengan harga disyorkan 539,000 yen (anggaran RM13,593) seunit.

Ini menunjukkan kenaikan harga sebanyak 44,000 yen (anggaran RM1,110) berbanding model sebelum ini. Honda Jepun sasarkan jualan 4,100 unit skuter Honda ADV160 (2026) RoadSync dalam tempoh setahun.

Apa kelebihan Honda RoadSync

Dengan adanya Honda RoadSync, penunggang Honda ADV160 edisi 2026 boleh menghubungkan telefon pintar mereka dengan skuter menggunakan sambungan Bluetooth.

Sebaik sambungan berjaya, penunggang boleh melihat paparan navigasi di skrin meter TFT mereka, ramalan cuaca, main balik muzik, menerima dan menjawab panggilan (guna interkom) serta notifikasi mesej.

Perincian Honda ADV160 (2026)

  • Di Jepun, inilah naik taraf kali pertama dibuat dalam tempoh dua tahun untuk model Honda ADV160.
  • Honda tetap mengekalkan ciri lain sedia ada seperti soket USB Type-C, sistem kekunci Honda Smart Key dan ruang kapasiti 29 liter bawah tempat duduk.
  • Enjin masih sama seperti sedia ada iaitu jenis satu silinder 156cc OHC 4-injap dengan sistem sejukan cecair dan suntikan bahan api.
  • Kuasa dihasilkan ialah 12kW pada 8,500rpm dan tork puncak 15Nm pada 6,500rpm.
  • Tempat duduk setinggi 780mm dan berat skuter ialah 137kg.
  • Rim depan 14 inci tayar 110/80, belakang 13 inci tayar 130/70..
  • Dimensi panjang 1,950mm, lebar 760mm dan tinggi 1,195mm.
  • Jarak roda 1,325mm dan jarak bumi 165mm.
  • Tangki minyak 8.1 liter.

Galeri Gambar Honda ADV160 (2026)