QJMOTOR X-Adventure 900 bakal jadi pencabar baharu segmen skuter 2 silinder sebaris pacuan rantai?

QJMOTOR sudah menunjukkan minat untuk melangkah masuk ke dalam saingan skuter 2-silinder sebaris (2-inline) antarabangsa.

Rancangan ini diketahui apabila QJMOTOR dikhabarkan sedang membangunkan model skuter berkapasiti lebih 900cc, dipadankan transmisi enam gear bersama teknologi klac berkembar DCT.

Malah dengar cerita, model prototaip yang dipanggil QJMOTOR X-Adventure 900 sudah disiapkan. Bentuk konsep hyper scooter itu boleh dilihat di bawah ini:

Jika apa yang dirancang menjadi nyata, sudah tentunya ini satu episod menarik dalam segmen skuter adventure 2 silinder sebaris.

Enjin digunakan nampaknya diambil daripada jentera touring QJMOTOR SRT 900 SX. Talaan enjin mungkin berbeza sedikit.

Enjin dua silinder sebaris (parallel twin) 904cc DOHC dilengkapi sistem sejukan cecair dan suntikan bahan api.

Anggaran output kuasa 95PS atau 93.7hp @ 8,750rpm dengan tork puncak 90Nm @ 6,500rpm. Maklumat awal diterima mengatakan transmisi digunakan jenis DCT 6 kelajuan dengan pacuan rantai.

Ya, satu lagi skuter gaya adventure bakal menggunakan pacuan rantai selepas kisah SWM SC250X, siri Zontes 552, Voge SR450X dan tak lupa juga kepada raja segmen skuter adventure 2 silinder iaitu Honda X-ADV 750.

Ciri lain yang dikongsi ialah brek cakera berkembar untuk roda depan, cakera tunggal di belakang, meter TFT berwarna 7 inci, winglet gentian karbon, tempat duduk dua peringkat dan sistem pencahayaan LED penuh.

Adakah model ini bakal masuk Malaysia?