
Tidak dinafikan, Aveta Motor Malaysia (Aveta Malaysia) agak aktif memperkenalkan pelbagai model skuter termasuk memperbaharui skuter sedia ada untuk memenuhi kehendak pengguna.
Namun, Aveta Malaysia tidak lupa juga harapan pengguna untuk mendapatkan kapcai mampu milik dengan pelancaran model Aveta VS115 generasi ketiga (V3) baru-baru ini.
Sedar tak sedar sudah ada model generasi ketiga. Kami pernah berkongsi cerita mengenai model Aveta VS115 generasi kedua (V2) tahun 2022 yang pernah menjadi sebutan ramai kerana ada yang mendakwa VS115 nampak macam Honda RS150.
- Aveta VS115 V2 (2022)
- Aveta VS115 V2 (2022)
Bila dibandingkan semula, Aveta VS115 (V3) nampak sudah beralih menjadi sebuah motosikal ‘asas’ berbanding VS115 (V2).
Salah satu perubahan ialah tiada lagi brek cakera untuk roda depan seperti model VS115 V2. Apa sebabnya?
Mungkinkah Aveta Malaysia ada rancangan untuk memperkenalkan Aveta VS115 Special Edition siap dengan brek cakera depan dan meter digital seperti dibuat untuk kapcai DY115 SE (2025)?
Penggunaan komponen seperti brek dram untuk roda depan sedikit sebanyak juga menyumbang kepada pengurangan harga asas motosikal V3.
Fokus sasaran model Aveta VS115 2026 sudah tentunya kepada mereka yang ingin kapcai asas kegunaan harian, golongan pelajar dan juga pekerja gig (penghantaran).
Ini perincian Aveta VS115 (V3) 2026
- Model ini diangkat sebagai motor Madani disebabkan harga badannya yang agak rendah iaitu RM3,488 tidak termasuk cukai jalan, caj pendaftaran dan insurans.
- Ada tiga pilihan warna disediakan iaitu kelabu (Grey), biru (Blue) dan merah (Maroon).
- Enjin model V3 dan V2 nampak sama iaitu jenis 1-silinder 113cc SOHC dengan padanan karburator dan sejukan berasaskan udara. Kotak gear 4-kelajuan.
- Data output dihasilkan sama macam V2 iaitu 6.5kW (8.7hp) @ 8,000rpm.
- Tork puncak kedua-dua generasi sama iaitu 9.3Nm @ 6,000rpm.
- Enjin boleh dihidupkan menggunakan penendang kaki atau menekan butang pemula enjin.
- Soket pengecas USB kini dua jenis iaitu Type-A dan Type-C (V2 hanya ada Type-A).
- Panel meter masih analog tetapi dengan latar paparan yang lebih kemas dan menarik berbanding V2.
- Sistem brek menggunakan jenis dram untuk roda depan dan belakang.
- Saiz tayar V3 yang disarung pada rim aloi 17 inci ialah 2.25 (depan) dan 2.50 di belakang. Model V2 menggunakan tayar depan 70/90 dan belakang 80/90.
- Tangki minyak masih 4 liter tetapi susunan bawah tempat duduk berbeza antara V2 (ruang simpanan depan, tangki belakang) dan V3 (tangki depan, ruang simpanan belakang).
- Model V3 adalah lebih ringan iaitu 83kg berbanding V2 (92kg).
- Ukuran dimensi V3 ialah panjang 1,900mm, lebar 670mm dan tinggi 1,100mm. Jarak roda pula 1,250mm.




























