
Honda Racing Malaysia (HRM) iaitu pasukan perlumbaan rasmi Boon Siew Honda (BSH) menerima dua pengiktirafan pada Malam Anugerah Persatuan Sukan Permotoran Malaysia (MAM) 2025 baru-baru ini.
Dua anugerah itu susulan perolehan keputusan konsisten sepanjang musim selain prestasi kompetitif di peringkat kebangsaan dan antarabangsa.
Bersaing atas nama Idemitsu Honda Racing Malaysia, HRM dinobatkan sebagai Pasukan 2-Roda Antarabangsa Terbaik (International 2-Wheel Team of the Year) dalam Kejuaraan Motosikal Asia (ARRC) untuk kategori ASB1000.
Pengiktirafan kedua diterima selepas Azroy Hakeem Anuar dinobatkan sebagai Pelumba Kebangsaan Terbaik (National Circuit Racing Rider).
Azroy mencatat kemenangan berganda (P1) pada Pusingan 2 ARRC di Litar SIC dan dua kemenangan berganda dalam saingan Malaysia Superbike Championship (MSBK).
Pengurus Pasukan Idemitsu Honda Racing Malaysia, Zulhelmi Ahmad berkata:
“Pengiktirafan ini mencerminkan usaha secara bersama di sebalik kejayaan Honda Racing Malaysia. Menjadi realiti melalui kepercayaan dan sokongan pihak pengurusan Boon Siew Honda, bersama para penaja, pelumba, jurutera serta seluruh pasukan teknikal dan sokongan.
“Komitmen berterusan daripada semua rakan penaja termasuk penaja utama Idemitsu amat penting untuk membolehkan kami bersaing secara konsisten pada tahap tertinggi sepanjang kejuaraan.”

