
Anda sudah tonton video Suzuki Raider R150Fi yang boleh dinaikkan atau diturunkan gear tanpa perlu menarik klac tangan? Video dari Brader Shawn itu tulen dan bukannya janaan AI.
Percaya atau tidak, itu adalah satu inovasi kejuruteraan yang berjaya dihasilkan sebuah syarikat tempatan iaitu AMITEC Technology Sdn. Bhd. (AMITEC).
Siapa pula AMITEC ini? Firma itu adalah anak syarikat AFY Mobility Industries (AMI) dan bertanggungjawab terhadap aspek-aspek penyelidikan dan pembangunan kejuruteraan untuk produk di bawah AMI.
AMITEC ini juga menggalas tanggungjawab membangunkan jenama motosikal nasional kedua iaitu AFAZ. Antara model yang sudah berada di pasaran ialah AFAZ Kencana Sport, beberapa model lain dan supermoped AFAZ yang akan diperkenalkan tidak lama lagi.
SUPERMOPED AFAZ GUNA AUTO KLAC 6-KELAJUAN?
Setakat apa yang kami tahu daripada perbualan dengan beberapa sumber AMI dan AMITEC, ciri klac auto itu akan ditawarkan sebagai opsyen kepada pengguna. Kiranya, aksesori jika ada pengguna yang berminat.
Ciri auto klac ini dikatakan tidak ditawarkan sebagai ciri standard pada enjin Suzuki asal yang dipasang pada model supermoped AFAZ. Ini kerana enjin Suzuki asal masih tertakluk kepada aspek tempoh jaminan dari Suzuki.
Kru kami berpeluang menunggang uji model prototaip pertama ini dalam kawasan pekarangan bangunan AMI-Suzuki di Shah Alam, Selangor.
Apa yang boleh dikatakan, penukaran gear tanpa klac tangan agak lancar. Perlu diingatkan, ini prototaip pertama dan masih ada kerja-kerja penambahbaikan akan dibuat pada keseluruhan sistem klac.
Tuil klac tangan masih dikekalkan pada model prototaip pertama ini. Bermaksud penukaran gear juga boleh dibuat secara manual (tarik klac tangan) atau pijak sahaja tuil gear kaki (tak perlu main klac tangan).

