Beberapa hari lalu, seorang pemilik motosikal ada membuat perkongsian di media sosial mengenai isu motosikal miliknya jenis BENDA LFC700 Pro.
MForce Bike Holdings (MForce) selaku pengedar rasmi motosikal jenama BENDA di Malaysia menjelaskan, isu itu sudah diselesaikan menerusi saluran yang sah.

Pihak pengurusan MForce turut menyatakan rasa kesal susulan perkara yang dihebahkan di media sosial dengan cara tidak wajar sehingga boleh menjejaskan nama baik syarikat serta jenama yang mereka wakili.
Berikut ialah kenyataan yang dikeluarkan MForce berhubung isu di atas:
MForce dengan ini mengesahkan bahawa kami adalah pengedar rasmi motosikal jenama BENDA di Malaysia, termasuk model LFC700 PRO.
Baru-baru ini, terdapat hantaran di media sosial berhubung ketidakpuasan hati seorang pengguna terhadap kualiti motosikal model LFC700PRO.
Pihak kami ingin menjelaskan bahawa isu tersebut telah pun ditangani mengikut prosedur dan peraturan yang telah ditetapkan.
Antara langkah yang telah diambil adalah seperti berikut:
- Motosikal berkenaan telah dibaik pulih sepenuhnya kerana masih dalam tempoh jaminan.
- Pemilik motosikal tersebut telah membuat laporan kepada Tribunal Tuntutan Pengguna Malaysia (TTPM), dan kes telah dibicarakan mengikut prosedur serta keputusan telah pun diperoleh.
Dengan ini, pihak kami menegaskan bahawa isu tersebut telah selesai melalui saluran yang sah.
Walau bagaimanapun, kami kesal kerana perkara ini telah dihebahkan di media sosial dengan cara yang tidak wajar sehingga boleh menjejaskan nama baik syarikat serta jenama yang kami wakili.
Oleh itu, pihak kami akan mengambil tindakan sewajarnya bagi melindungi reputasi syarikat serta memastikan pengguna menerima maklumat yang tepat serta perkhidmatan selepas jualan yang baik seperti yang dijanjikan.
MForce sentiasa komited untuk memberikan perkhidmatan terbaik serta memastikan kepuasan pelanggan menjadi keutamaan kami. Kami juga ingin menegaskan bahawa semua produk di bawah pengedaran MForce adalah dilindungi oleh jaminan sah dan sebarang isu teknikal akan ditangani secara profesional.
Terima kasih,
Pihak Pengurusan MForce Bike Holdings Sdn Bhd

