BENDA macam ada rancangan untuk memperkenalkan motosikal kapasiti 250cc dengan enjin boxer (melintang).
Maklumat ini bocor selepas beberapa media antarabangsa membuat laporan dengan mendedahkan foto paten motosikal dengan konfigurasi enjin itu. Kod nama motosikal itu dikatakan BD250-3B.
Ini boleh digambarkan sebagai satu lagi percubaan berani BENDA selepas menarik perhatian industri selepas menyelit kejuruteraan binaan yang tidak ramai pengeluar berani ketengahkan.
Contoh pertama ialah enjin V-Twin 250cc untuk motosikal bobber. Keduanya ialah fork girder juga pada motosikal sama dan dua konfigurasi ini boleh anda tengok pada BENDA Napoleon Bob 250.
Sambung balik cerita enjin boxer BENDA. Bila tengok gambar paten, haba panas pada enjin DOHC 4-injap motosikal ini dikawal dengan penyejukan cecair dan udara (silinder ada banyak sirip).
Enjin boxer BENDA ini menggunakan susunan berbeza dari enjin boxer lain. Nampak macam model BMW R 1300 GS Adventure (2025) yang baru dilancarkan di Malaysia.
Sebabnya… klac diletakkan di hadapan enjin tapi kotak gear disusun bawah enjin. Ini membuatkan keseluruhan trenkuasa (enjin dan kotak gear) jadi lebih kompak (padat dan kecil).
Tapi pacuan pada motosikal BENDA ini tak macam BMW yang gunakan shaft. BENDA memilih rantai dan spoket.
Oleh sebab guna rantai, sudah tentu motosikal BENDA ini guna gear bevel (gear serong) untuk memastikan berlakunya pusingan pergerakan 90 darjah supaya rantai memusingkan roda belakang.
Cerita belum habis di sini kerana nampak macam ada dua peringkat pacuan pacuan. Pertama, pacuan (tak pasti jenis rantai atau tali sawat) yang keluar dari kotak gear ke spoket depan. Kedua, pacuan rantai ke roda belakang.
Bentuk swing arm motosikal roadster ini pun nampak pelik dengan absober diletakkan di bawah swing arm, di sebelah kanan.
Belum ada data teknikal (spesifikasi) didedahkan buat masa ini.






