Di pasaran Malaysia pada ketika ini, ramai peminat skuter yang merasa teruja dengan ketibaan Honda ADV350 2024. Namun begitu terdengar rungutan yang mengatakan harga asas yang ditawarkan untuk model tersebut agak tinggi, iaitu sebanyak RM 33,999.00. Jika benar, mungkin para peminat skuter tempatan boleh mempertimbangkan model QJ Motor Fort 350 2024.
Untuk makluman, QJ Motor Fort 350 baru saja dilancarkan di Malaysia Autoshow 2024 (22 – 26 Mei) baru-baru ini, dalam dua pilihan warna menarik Gold dan Matte Black. Harga asasnya lebih rendah dan lebih mampu milik berbanding Honda ADV350, iaitu sebanyak RM 23,888.00 sahaja. Enjinnya bersesaran 350cc (1-cylinder, SOHC, 4-valve, liquid-cooled) dengan transmisi CVT.
Enjin itu menawarkan kuasa maksimum 33.8hp @ 7,500rpm dengan tork maksimum 35.2Nm @ 6,000rpm. Untuk perjalanan lebih jauh, tangki bahan apinya berkapasiti 14 liter. Spesifikasi lain seperti fork depan teleskopik, suspensi belakang berkembar, brek cakera depan berkembar, saiz roda 120/70-R15 (depan) dan 150/70-R14 (belakang), dan ketinggian tempat duduk 775 mm.
Selain itu ianya juga dilengkapi skrin penghadang angin boleh laras elektrik, ABS Dual Channel, sistem penghidup keyless dengan kad tanpa wayar yang menggunakan teknologi NFC, sistem lampu LED, panel meter TFT 7.0 inci dengan sambungan Bluetooth, port pengecas USB, sistem pemantauan tekanan tayar (TPMS), dan juga terdapat kamera dashcam di bahagian depan.
Ruang simpanan tidak dilupakan, apabila ianya mempunyai dua ruang glove box di bahagian depan dan ruang simpanan yang luas di bawah tempat duduk. Beratnya 195 kg. Kesimpulannya harga, spesifikasi dan ciri-ciri yang ditawarkan oleh QJ Motor Fort 350 2024 ini adalah sangat menarik dan mengujakan. Namun begitu pilihan muktamad terletak di tangan bakal pembeli.