Bajaj Pulsar NS160 2024 terima naik taraf baharu di pasaran India

Di pasaran India, Bajaj Auto baru-baru ini rasmi melancarkan model naked Bajaj Pulsar NS160 2024. Berbanding versi tahun sebelumnya iaitu Bajaj Pulsar NS160 2023, versi 2024 kini tampil dengan naik taraf terbaharu yang lebih menarik, menjadikannya lebih sporty dan moden.

Naik taraf pertama ialah lampu depan model tersebut kini telah direka semula, dengan ciri-ciri LED dan DRL yang kelihatan cukup menarik dan agresif. Naik taraf kedua pula melibatkan panel meter baharu yang kini digital sepenuhnya, dengan ciri-ciri canggih seperti sistem sambungan Bluetooth, boleh menerima notifikasi panggilan masuk dan SMS, dan turn-by-turn navigation.

Spesifikasi dan ciri-ciri lain pula kekal sama seperti mana model tahun sebelumnya, termasuklah enjin yang bersesaran 160.3cc (Oil Cooled, Twin Spark, 4-Valve FI DTS-i Engine) dengan kuasa maksimum 17.2PS @ 9,000rpm dan tork maksimum 14.6Nm @ 7,250rpm. Enjin itu dipadankan dengan sistem transmisi enam kelajuan. Tangki bahan api pula hadir dengan kapasiti 12 liter.

Bajaj Pulsar NS160 2024 kemudiannya dilengkapi fork depan jenis terbalik, suspensi belakang monoshock (Nitrox mono shock absorber with Canister), sistem brek cakera depan 300 mm dan belakang 230 mm, ABS Dual Channel, dan sepasang tayar bersaiz 100/80-17 dan 130/70-17.

Untuk pasaran India, harga jualannya bermula dari 1,45,792 INR (RM 8,264.30). Sementara itu di pasaran Malaysia, Modenas sehingga kini masih menawarkan model Pulsar NS160. Adakah selepas ini ianya akan digantikan dengan Pulsar NS160 2024 seperti di pasaran India ini?