Honda Dax 125 2024 kini di pasaran Jepun, harga RM 14,247.85

Honda Dax 125 2024 baru-baru ini telah diperkenalkan di pasaran domestik Jepun, dan model mini yang bergaya retro itu dijual secara rasmi bermula dari tarikh 14hb. Disember 2023.

Untuk musim 2024, model berkenaan tampil dengan satu pilihan warna baharu iaitu Pearl Glitter Ring Blue. Sementara itu, dua pilihan warna terdahulu yang diperkenalkan pada tahun 2022 iaitu Pearl Nebula Red dan Pearl Cadet Gray, masih lagi ditawarkan bersama-sama.

Untuk pasaran Jepun, Honda Dax 125 2024 boleh dimiliki dengan harga jualan sebanyak 440,000 Yen, bersamaan nilai RM 14,247.85 mengikut kadar tukaran mata wang semasa. Honda telah menetapkan sasaran jualannya sebanyak 5,000 unit setahun.

Honda Dax 125 2024 dilengkapi enjin bersesaran 123cc (air-cooled, SOHC, 2-valve) dengan sistem suntikan bahan api PGM-FI. Enjin itu dipadankan dengan kotak gear empat kelajuan, dan menawarkan kuasa maksimum 9.4PS @ 7,000rpm dengan tork 11Nm @ 5,000rpm.

Spesifikasi lain pada model tersebut termasuklah tangki bahan api 3.8 liter, sistem brek cakera dengan ABS satu saluran,  tinggi tempat duduk 775 mm, saiz tayar depan dan belakang 120/70-R12 dan 130/70-R12, panel meter digital LCD, sistem lampu LED, dan berat 107 kg.

Untuk pasaran Malaysia, setakat ini belum ada maklumat mengenai kemungkinan tentang pelancarannya. Mungkin kerana tiada permintaan daripada peminat motosikal tempatan.