Pada tarikh 13hb. Disember 2023 baru-baru ini, Aveta Motorcycles Malaysia secara rasminya mencatatkan satu lagi pencapaian besar, apabila syarikat pengeluar motosikal berjenama tempatan itu memperkenalkan Aveta Service Corner (ASC).
Dicipta untuk memberikan ketenangan dan pengalaman yang lebih baik kepada pelanggan yang memiliki motosikal keluaran Aveta, ASC adalah satu sudut khusus di pusat penjualan Aveta yang dilengkapi dengan peralatan khas untuk juruteknik menyelenggara setiap motosikal Aveta.
“Kami mahu pelanggan mempunyai pengalaman pemilikan yang bagus dengan Motosikal Aveta, dan ASC ini diperkenalkan untuk mencapai hasrat tersebut. Kami bekerjasama dengan peniaga dan pusat servis yang komited yang mempunyai pengetahuan untuk bekerja dengan motosikal keluaran Aveta,” jelas Steven Lim, Pengarah Urusan Kumpulan Aveta Motorcycles Malaysia.
“Pengetahuan adalah penting untuk seseorang juruteknik, tetapi begitu juga dengan peralatan yang betul. Oleh itu, Aveta Service Corner mempunyai semua peralatan yang lengkap untuk juruteknik menjalankan penyelenggaraan dan, jika perlu, membaiki apa-apa masalah pada motosikal Aveta,” tambah beliau.
Bagi memastikan juruteknik sentiasa mempunyai tahap prestasi yang tinggi dan mempunyai set kemahiran yang betul, Aveta telah menyediakan latihan yang secukupnya merangkumi semua model sedia ada. Selain daripada latihan, semua juruteknik juga akan diberikan t-shirt, manakala ASC akan dilengkapi dengan lift motosikal dan laci peralatan, yang juga disediakan oleh Aveta.
Untuk makluman, ASC pertama di Malaysia telah dilancarkan dengan kerjasama Ann Chuan Motor, pengedar motosikal Aveta yang terletak di Klang. Ianya merupakan ASC pertama daripada 30 ASC yang akan dilancarkan di seluruh Malaysia pada tahun 2024.
Aveta Service Centre juga merupakan salah satu daripada tiga inisiatif Penjagaan Pelanggan, dua lagi adalah Mobile Service Fleet yang sudah beroperasi, dan pelantikan stokis yang komited yang dijadualkan pada tahun 2024. Tahniah diucapkan kepada Aveta di atas inisiatif ASC ini.