Linhai L-MAX 150 2023 muncul di pasaran China, penampilan mirip Yamaha XMAX 250

Pasaran negara China terkenal dengan pengeluaran model-model motosikal dan skuter dalam versi klon, yang tampil dengan reka bentuk sangat mirip dengan model asal.

Kini salah sebuah model skuter terbaharu di pasaran China tampil mengejutkan, apabila rekaannya boleh dikatakan serupa dengan model skuter popular Yamaha XMAX 250.

Dikenali dengan nama Linhai L-MAX 150 2023, sekali pandang sudah tentu ramai yang akan mengatakan bahawa itu ialah Yamaha XMAX 250 yang sememangnya sporty.

Di bahagian enjin, Linhai L-MAX 150 hanya dikuasakan enjin berkapasiti 150cc, dengan kuasa maksimum 14.3PS @ 8,000 rpm dan tork maksimum 13.2Nm @ 6,000rpm.

Model skuter seberat 147 kg (curb weight) itu kemudiannya dilengkapi tangki bahan api 14 liter, dengan jarak perjalanan setangki penuh dikatakan mencapai angka 400 km.

Pelbagai ciri-ciri menarik melengkapinya, termasuklah sistem kunci keyless, panel TFT 7.0 inci berwarna, ABS Dual Channel, TCS, sistem lampu LED, dan pengecas USB.

Tayar depan dan belakangnya masing-masing berukuran 120/70-R13 dan 130/70-R13. Menariknya, model tersebut dilengkapi sistem suspensi belakang jenis monoshock.

Untuk pasaran China, Linhai L-MAX 150 2023 didatangkan dengan lima warna menarik. Harga jualannya pula ialah sebanyak CNY 14,880.00, bersamaan nilai RM 9,632.43.

Adakah model skuter klon ini akan juga ditawarkan di pasaran negara lain selain China? Kalaulah model ini masuk ke pasaran Malaysia, rasanya tentu ramai yang berminat.

Artikel menarik berkaitan :

Sumber : Moto Fine