Model mini terbaharu CFMOTO Xo Papio 2023 secara rasminya dilancarkan di pasaran Malaysia baru-baru ini, dalam majlis yang berlangsung di Malaysia Autoshow 2023.
Model berkenaan tampil dengan tiga pilihan warna menarik iaitu Fiery Red, Moss Green dan Nebula White, dengan harga jualan asas sebanyak RM 8,888.00. Tempoh jaminan pula adalah selama 2 tahun atau 20,000 km jarak perjalanan, yang mana tiba dahulu.
CFMOTO Xo Papio dilengkapi enjin berkapasiti 126cc dengan sistem penyejukan udara dan EFI, dan menghasilkan kuasa maksimum 9.4hp @ 8,500rpm dengan tork 8.3Nm @ 6,500rpm. Enjin itu kemudiannya dipadankan dengan sistem transmisi enam kelajuan.
Pelbagai ciri-ciri menarik lain yang melengkapi model mini itu adalah seperti fork depan USD, suspensi belakang monoshock, sistem brek cakera dengan ABS dua hala, sistem lampu LED, panel meter gabungan analog dan digital, serta tangki bahan api 7.0 liter.
Di bahagian roda, CFMOTO Xo Papio menggunakan tayar depan dan belakang bersaiz 120/70-R12 dan 130/70-R12. Tinggi tempat duduk berada pada paras hanya 760 mm.