Sebuah model skuter terbaharu yang diberikan nama SYM ADX 125 2023, baru-baru ini rasmi diperkenalkan di pasaran Greece, dengan harga 3,595.00 € (RM 17,089.18).
Model tersebut sebenarnya berasal daripada model SYM Husky ADV 150 yang muncul di EICMA 2021, dan kemudiannya dilancarkan di pasaran China pada tahun 2022.
Selain berbeza nama, SYM ADX 125 juga dilengkapi sesaran enjin yang lebih kecil iaitu 124.7cc (liquid-cooled, SOHC, 4-valve), yang menghasilkan 12.3PS dan tork 11.5Nm.
Spesifikasi lainnya termasuklah fork depan teleskopik, suspensi belakang mono, sistem brek cakera ABS dua hala, tangki petrol 15 liter, dan sepasang tayar bersaiz 13 inci.
Model tersebut turut dilengkapi teknologi A.L.E.H (Anti-Lift Engine Hanger System) yang dikatakan dapat meningkatkan lagi kestabilan tunggangan sewaktu memulas pendikit.
Pelbagai ciri-ciri menarik lain pada SYM ADX 125 2023 termasuklah sistem lampu LED dengan DRL, Traction Control System (TCS), sistem Keyless dan port pengecas USB.
Skrin TFT pula menawarkan paparan tiga tema pilihan, di samping latar belakang yang boleh berubah secara automatik, bergantung kepada keadaan cahaya persekitaran.
Untuk lebih kemudahan, ruang simpanan di bawah tempat duduknya boleh memuatkan sebuah topi keledar bermuka penuh, di samping barangan peribadi penting yang lain.
Untuk pasaran Malaysia, SYM ADX 125 atau SYM ADX 150 dirasakan sesuai jika ianya turut dilancarkan, bagi bersaing dengan model-model skuter adventure yang lain.