Baru-baru ini bertempat di pameran motosikal antarabangsa EICMA 2021 di Milan, Itali, SYM telah mempamerkan sebuah model skuter adventure terbaharu keluarannya yang dikenali dengan nama SYM Husky ADV 150 2022. Melihat kepada gaya rekaannya dan kapasiti enjin, ianya bakal memberikan saingan sengit kepada model Honda ADV150.
Antara ciri-ciri utama yang melengkapi SYM Husky ADV 150 ini ialah sistem lampu LED sepenuhnya, panel instrumen digital TFT yang terang dan jelas, suspensi monoshock di bahagian belakang, kapasiti maksimum tangki bahan api 15 liter, port pengecas Quick Charge 2.0, dan sistem gantungan enjin A.L.E.H (Anti-Lift Engine Hanger System) yang dikatakan dapat meningkatkan lagi kestabilan tunggangan semasa memulas pendikit.
Selain itu ianya turut dilengkapi fork depan teleskopik, brek cakera depan dan belakang masing-masing dalam diameter 260 mm dan 233 mm dengan sistem ABS dua saluran, tayar dual purpose dalam siri 120/70-R13 (depan) dan 130/70-R13 (belakang), tempat duduk dengan ketinggian 780 mm, dan skrin penghadang angin yang boleh dilaraskan.
Di bahagian enjin, ianya bersesaran 150cc (1-cylinder, liquid-cooled, 4-stroke, SOHC, 4-valve) dengan padanan teknologi sistem EFI dan transmisi automatik CVT. Kuasa yang dihasilkan oleh enjin tersebut mencapai 10.8kW (14.48hp) @ 7,500rpm, dengan janaan tork maksimum 14.5Nm @ 6,000rpm. Jumlah kuasa tersebut pastinya sudah memadai.
Seandainya SYM Husky ADV 150 2022 ini dilancarkan di pasaran Malaysia nanti, ianya bukan saja akan memberikan saingan kepada model Honda ADV150, malah akan turut memberikan saingan kepada model-model skuter adventure lain seperti WMoto Xtreme 150i dan juga model baharu yang dijangka bakal dilancarkan nanti iaitu Aveta ADV150.
Sumber gambar : Vanhoe Rage FB