Honda memperkenalkan tiga model EB untuk pasaran China

Honda Motor (China) Investment Co., Ltd. (HMCI) ialah anak syarikat Honda dengan ibu pejabatnya terletak di Beijing, China. Pegawai Pengurusnya ialah Katsushi Inoue.

Kelmarin dalam majlis pelancaran atas talian yang diadakan di Shanghai, Honda telah memperkenalkan tiga model Electric Bicycle (EB) baharu untuk generasi Z di China.

Ketiga-tiga model tersebut ialah Honda Cub e:, Honda Dax e: dan Honda ZOOMER e:, yang diinspirasikan daripada model-model Honda Super Cub, Dax dan ZOOMER.

Di pasaran China, motosikal elektrik jatuh dalam tiga kategori. Pertama ialah model EB (Electric Bicycle), dengan kelajuan maksimumnya ditetapkan 25 km/j atau kurang.

Kategori kedua ialah EM (Electric Moped) dengan kelajuan maksimum antara 26 km/j  dan 50 km/j, dan EV (Electric Vehicle) dengan kelajuan maksimum 51 km/j atau lebih.

Honda Cub e:, Honda Dax e: dan Honda ZOOMER e: berada dalam kategori EB. Buat masa ini tarikh pelancaran rasmi model-model tersebut masih belum diumumkan.

Mengikut perancangan sebelum ini, Honda bakal melancarkan lebih daripada 10 model motosikal elektrik terbaharu di pasaran global, termasuklah tiga model EB tersebut.

Honda bagaimanapun mengatakan mereka tiada rancangan untuk melancarkan model-model EB tersebut di pasaran Jepun. Untuk pasaran Malaysia, juga belum ada berita.