Benarkah ramai penunggang super bike tiada lesen B Full?

Baru-baru ini menurut laporan media, telah berlaku kemalangan jalan raya melibatkan lima buah motosikal super bike yang berlaku di Lebuhraya Kuala Lumpur – Karak.

Apa yang mengejutkan ialah berdasarkan laporan rasmi pihak berkuasa, hanya seorang daripada lima penunggang yang terlibat memiliki lesen motosikal dalam kelas B Full.

Berdasarkan situasi yang tidak terduga itu, kebanyakan rakyat Malaysia merasa terkejut kerana tidak menyangka penunggang super bike ramai yang tidak memiliki lesen B Full.

Sebelum ini penunggang super bike dipandang tinggi kerana kemampuan mereka untuk membeli motosikal pada harga mahal, namun rupa-rupanya indah khabar dari rupa.

Terdapat beberapa sebab kenapa mereka tidak memiliki lesen B Full. Antaranya kerana mungkin tiada masa untuk berurusan dengan pihak JPJ dan pihak sekolah memandu.

Ada juga yang memberikan alasan bayaran yang dikenakan untuk mendapatkan lesen B Full terlalu mahal, sedangkan hakikatnya harga super bike bernilai ratusan ribu.

Malah ada juga yang mengambil sikap sambil lewa, kerana mereka sudah pun memiliki lesen B2, selain memberikan alasan sudah cekap menunggang motosikal super bike.

Sikap tidak mengapa dan enggan mengambil lesen B Full itu akhirnya kini mengundang padah apabila berlakunya kemalangan, terutamanya untuk urusan tuntutan insuran.

Selepas ini pastinya rakyat Malaysia akan bersikap lebih skeptikal apabila terserempak dengan penunggang motosikal super bike, terutamanya yang ditunggang dengan laju.

Sementara itu, terdapat cadangan untuk memastikan hanya pemilik lesen B Full sahaja yang boleh membeli motosikal berkuasa tinggi, sebagai syarat wajib dan mandatori.

Cadangan itu disifatkan tepat dan kena pada masanya, agar hanya penunggang yang layak sahaja boleh menunggang motosikal berkuasa tinggi demi keselamatan semua.

Namun setakat ini cadangan tersebut masih diperhalusi oleh pihak berkuasa. Apa pun diharapkan selepas ini semua pemilik super bike akan memiliki lesen B Full yang sah.