Di pasaran negara kita, Honda EX5 merupakan salah sebuah model kapcai yang cukup terkenal. Pengeluaran pertamanya di pasaran Malaysia bermula pada tahun 1987.
Model terakhir yang diperkenalkan pula ialah Honda EX5 Limited Edition 2022, yang dilancarkan pada tarikh 24hb. Februari 2022, dalam edisi terhad 2,000 unit sahaja.
Kini Honda EX5 tidak lagi ditawarkan di pasaran Malaysia, apabila model tersebut tidak lagi dipaparkan di dalam laman sesawang Boon Siew Honda bermula Januari 2023.
Tiada maklumat sama ada model tersebut telah pun ditamatkan pengeluarannya secara rasmi atau tidak, atau mungkin bakal membuat kemunculan baharu tidak lama lagi.
Apa yang boleh dikatakan, mungkin Boon Siew Honda beranggapan hayat Honda EX5 telah sampai ke penghujung, serentak dengan pelancaran Honda Wave Alpha 2023.
Tambahan pula populariti Honda EX5 semakin pudar, apabila generasi pertama Honda EX5 High Power digantikan dengan versi Honda EX5 Dream 110 pada tahun 2013.
Sejak itu pelbagai versi Honda EX5 boleh dikatakan gagal memikat minat kebanyakan rakyat Malaysia, yang mula beralih kepada model-model lain yang semakin canggih.
Ketika ini, model motosikal paling popular keluaran Boon Siew Honda ialah Honda RS-X 2023. Namun jasa Honda EX5 kepada rakyat Malaysia sememangnya terlalu besar.
Honda EX5 pencetus kepada model kapcai empat lejang yang sporty, tahan lasak dan mempunyai enjin yang cukup berprestasi. Tahap ekonominya juga cukup memuaskan.
Jika benar Honda EX5 kini tidak lagi ditawarkan di pasaran Malaysia, hanya ucapan selamat tinggal sahaja yang mampu diucapkan. Honda EX5 kekal dalam kenangan.