Kor Polis Tentera Diraja (KPTD) terima 40 buah model motosikal BMW R1250RT

Menurut sumber dari halaman Facebook Tentera Darat Malaysia, Panglima Tentera Darat (PTD), Jeneral Tan Sri Dato’ Seri Zamrose bin Mohd Zain telah menyempurnakan Perasmian Penyerahan Motosikal Penguatkuasa Kor Polis Tentera Diraja (KPTD) Model BMW R1250RT, yang diadakan di Padang Kawad Pusat Latihan Kor Polis Tentera Diraja (PULAPOT), Setapak pada tarikh hari ini.

Tentera Darat Malaysia sebelum ini telah meluluskan perolehan 40 buah motosikal penguatkuasa secara sewaan daripada Syarikat Ammo Defence Sdn. Bhd. untuk tempoh selama lima tahun, bagi membantu KPTD melaksanakan tugas kepolisan dengan berkesan. Model BMW R1250RT adalah motosikal dari kelas sport touring yang menawarkan kuasa, kelajuan, keselesaan dan keselamatan.

Melihat ke laman sesawang rasmi BMW Motorrad Malaysia, BMW R1250RT ditawarkan di pasaran Malaysia dengan harga RM 146,500.00, tidak termasuk insuran. Model tersebut dikuasakan enjin boxer dua silinder dalam sesaran 1,254cc, dengan kuasa maksimum 136hp @ 7,750rpm dan tork 143Nm @ 6,250rpm. Menurut BMW Motorrad, kelajuan maksimum model itu melebihi 200 km/j.