Benelli Panarea 125 2023 kini di pasaran Malaysia dengan harga asas RM 6,888.00

Di pasaran Malaysia, model-model motosikal dan skuter berjenama Benelli diedarkan secara rasmi oleh MForce Bike Holdings Sdn. Bhd. Kelmarin, MForce Bike telah pun melancarkan sebuah model skuter terbaharu iaitu Benelli Panarea 125 2023, dengan harga jualan asas hanya RM 6,888.00.

Benelli Panarea 125 mempunyai reka bentuk retro yang menawan, dan boleh didapati dalam empat pilihan warna menarik seperti Merah, Putih, Hitam dan Kuning. Enjinnya bersesaran 124cc (Single Cylinder, 4 Stroke, 2 Valves, SOHC), dipadankan transmisi automatik CVT, dan menawarkan kuasa 8.44hp @ 7,500rpm dengan tork 9.2Nm @ 6,000rpm. Kapasiti tangki bahan apinya ialah 4.6 liter.

Spesifikasi teknikal yang ditawarkan oleh Benelli Panarea 125 adalah seperti fork depan teleskopik, suspensi belakang tunggal, brek depan cakera, brek belakang dram, tayar dalam ukuran 100/90-12 (hadapan) dan 110/90-R12 (belakang), ketinggian tempat duduk hanya 760 mm, dan berat 104 kg.

Tampil serba moden, Benelli Panarea 125 ini memiliki ciri-ciri menarik antaranya sistem lampu LED, panel meter gabungan analog dan digital, lampu hazard, suis pemati enjin, dua storan poket depan dengan pengecas USB, dan termasuklah ruang barangan di bawah tempat duduk seluas 12 liter.

Menurut MForce Bike, Benelli Panarea 125 2023 didatangkan dengan tempoh jaminan selama dua tahun, atau jarak perbatuan sehingga 20,000 km, yang mana tiba dahulu. Untuk ketenangan minda pemiliknya, alat ganti untuk model tersebut juga ditawarkan oleh MForce Bike secara dalam talian.